SANDAKAN: 14 Februari 2026 – Seramai empat lelaki ditahan dalam Operasi Tapis yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan di beberapa lokasi sekitar bandar ini, Sabtu lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman, operasi yang berlangsung dari jam 5 petang hingga 10 malam itu menyasarkan kawasan tumpuan awam di sekitar Bandar Sandakan dan Prima Borneo Cove.

Dalam serbuan pertama, seorang lelaki ditahan kerana memiliki dadah yang disyaki jenis syabu dan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penagihan dadah.

Pada hari yang sama, pasukan operasi menahan seorang lagi lelaki dalam Ops Tapis di kawasan Prima Borneo Cove, sementara sepasukan anggota kereta peronda (MPV) turut menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis sama.
Kesemua suspek dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk menjalani ujian air kencing dan didapati positif dadah sebelum ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: Polis Daerah Sandakan
