KOTA KINABALU: 16 Februari 2026 – Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu memaklumkan empat individu telah ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh susulan penemuan beberapa bahagian anggota tubuh manusia di kawasan tempat pembuangan sampah Pekan Indah Permai pada 12 Februari lalu.
Hasil tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 71 tahun yang ditahan di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II.
Susulan itu, seorang lagi lelaki tempatan berumur 19 tahun ditahan pada malam yang sama di kawasan Sepanggar.
Pada 15 Februari, dua lagi tangkapan dibuat melibatkan dua wanita tempatan masing-masing berumur 29 dan 21 tahun di kawasan Sepanggar dan Inanam.
Kedua-duanya merupakan anak kepada suspek utama ditahan bagi membantu siasatan berhubung peranan dan pengetahuan mereka mengenai kejadian tersebut.
Polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan kes termasuk telefon bimbit, pakaian, sepasang sarung tangan, sebilah parang berukuran kira-kira 27 inci dan sebuah kenderaan Nissan X-Trail.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: Polis Daerah Kota Kinabalu
