Emmy Mangun Wakili Borneo, Malaysia di Pertandingan World Cheongsam Queen International 2025

Kuala Lumpur: 30 September 2025 – Anak jati Sabah, Emmy Mangun akan membawa nama Borneo dan Malaysia ke pentas antarabangsa apabila beliau mewakili negara dalam pertandingan berprestij World Cheongsam Queen International 2025 yang akan berlangsung di Taiwan.

Emmy secara rasmi diuruskan oleh Kimi Tomas, Pengarah Borneo di bawah pasukan Legend Universal Beauty Pageant yang diketuai oleh Pengarah Antarabangsa, Maggie Leong.

Pertandingan berprestij ini akan menampilkan lebih daripada 40 peserta dari seluruh Asia, termasuk Filipina, Taiwan, China, Hong Kong, India, Thailand dan banyak lagi.

Para peserta bukan sahaja akan menonjolkan keanggunan cheongsam ikonik yang ditaja oleh pereka terkenal dari Taiwan malah turut mempersembahkan warisan budaya masing-masing di pentas antarabangsa.

Menurut Kimi Tomas, kategori “Mrs.” dalam pertandingan ratu cantik masa kini telah berkembang menjadi satu platform yang memberi kuasa kepada golongan ibu dan wanita elit untuk menyerlah di pentas meraikan peranan mereka sebagai tokoh berwawasan, pemimpin komuniti, serta contoh teladan kepada generasi muda.

“Kami percaya Emmy akan bersinar dengan keanggunan, bakat dan dedikasi, sekaligus mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di pentas antarabangsa. Semoga tahun ini menjadi tahun kemenangan beliau,” kata Kimi Tomas.

Penyertaan Emmy juga memperkukuh komitmen Legend Universal terhadap kerjasama antarabangsa dan pemerkasaan wanita, sambil menonjolkan kekayaan budaya Borneo serta meletakkan wanita sebagai suara berpengaruh dalam arena pertandingan ratu cantik global.

Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan Borneo akan berlepas ke Taiwan pada 11 Oktober dan pihak mereka masih sibuk membuat persiapan akhir bagi pertandingan antarabangsa tersebut.

Menariknya, Datuk Joanna Kitingan akan turut mengiringi rombongan itu ke Taiwan bagi memberikan sokongan penuh terhadap misi Mrs. Borneo di pertandingan berprestij itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal