Unduk Ngadau Daerah Tambunan 2025, Elka Alika Pijeh
Kemenangan Elka Alika Pijeh, wakil dari Lintuhun, sebagai Unduk Ngadau Tambunan 2025 pada tanggal 1 Mei baru-baru ini adalah lebih daripada sekadar satu anugerah kecantikan. Ia adalah manifestasi ketabahan, dedikasi, dan kesungguhan seorang wanita muda yang bukan sahaja ingin meraih pengalaman baru, tetapi juga bertekad untuk menyumbang secara positif kepada masyarakatnya.
Elka anak ketiga daripada lima beradik, dan berasal dari Kampung Karanaan Tambunan telah menempuh perjalanan yang penuh cabaran untuk mencapai kejayaan ini, dan kisahnya memberikan inspirasi yang mendalam.
Latar belakang pendidikan Elka dalam bidang farmasi, dengan memegang Diploma In Pharmacy dan kini bekerja sebagai Pembantu Farmasi, membuktikan komitmennya terhadap bidang profesional.
Walaupun fokusnya saat ini tertumpu pada kerjayanya, adakah Elka mempunyai rancangan untuk melanjutkan pelajarannya? Mungkinkah kemenangan ini membuka pintu baru dan peluang untuk melanjutkan pendidikan lebih tinggi bagi mengukuhkan lagi keupayaannya untuk berbakti kepada masyarakat?
Elka selepas dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Tambunan 2025 berkata, “Saya rasa sangat bersyukur dan gembira atas kemenangan ini kerana semua persiapan, persediaan dan pengorbanan saya sejak awal lagi untuk mengikuti Unduk Ngadau telah membuahkan hasil.”
Apa yang lebih menarik ialah motif Elka menyertai Unduk Ngadau, “Saya tidak menjangka kemenangan ini sebenarnya. Tujuan sebenar saya mengikuti Unduk Ngadau ialah untuk menambah pengalaman dan mencuba perkara yang baru dalam hidup saya,” jelasnya.
Elka dengan sikap yang sederhana menyertai Unduk Ngadau, tidak bermaksud mengejar populariti, tetapi bertujuan mendapatkan sesuatu yang lebih bermakna.
“Saya mencari pengajaran yang saya boleh ambil untuk terus meningkatkan lagi kematangan karakter saya,” ujarnya.
Secara lazimnya setiap pertandingan melibatkan persiapan. Begitu juga dengan Elka yang lebih banyak berdoa untuk menjaga hati, mental dan fizikal supaya kekal tenang menghadapi segala cabaran dan kemungkinan.
“Bagi saya, apapun pertandingan, kemenangan itu rezeki, tetapi saya harus lakukan dengan sehabis-habisnya,” ujarnya dengan penuh kefahaman bahawa semuanya memerlukan pengorbanan masa dan tenaga.
Kisah Elka turut diselubungi tragedi dan cabaran yang amat peribadi. Keadaan hening seketika, kemudian Elka dengan berhati-hati berkata, “Saat-saat genting dan amat menekankan bermula sebulan yang lalu sebaik sahaja saya memenangi Unduk Ngadau peringkat Mukim Lintuhun. Adik keempat yang amat dikasihi seluruh keluarga secara tiba-tiba pergi tanpa diketahui penyebabnya. Ini terlalu sukar untuk saya menceritakannya.”
Dengan sebak Elka meneruskan bicaranya, “Ketika itu saya hampir memutuskan untuk berhenti mengikuti Unduk Ngadau tetapi saya bersyukur dan berterima kasih kepada keluarga dan saudara mara kerana tanpa henti memberikan semangat dan dorongan untuk meneruskan juga.”
Di sebalik cabaran dan kesedihan yang dialaminya, Elka terhibur dengan rakan-rakan baharu seperjuangannya yang masing-masing mempunyai kisah tersendiri dalam menyertai Unduk Ngadau.
“Mereka mempunyai keunikan, humor dan ragam tersendiri di sebalik wajah-wajah mereka yang cantik-cantik,” ujarnya dengan senyuman manis.
Pada awalnya, sebahagian keluarganya tidak menyokong Elka menyertai Unduk Ngadau, malah mendesaknya untuk menarik diri. Namun, tekad Elka disokong oleh temannya, rakan-rakan dan sebahagian keluarganya.
Setelah memenangi Unduk Ngadau Mukim Lintuhun, ditambah lagi dengan kejutan berita keluarga, keadaan berubah sehingga Elka mendapat sokongan penuh dari semua pihak.
Oleh itu katanya, selain berusaha menginspirasikan diri sendiri, akhirnya seluruh keluarga menjadi sumber inspirasinya.
Kisah ini menggambarkan kepentingan sokongan keluarga dan komuniti dalam membantu seseorang mencapai kejayaan.
Sebagai Unduk Ngadau Daerah Tambunan 2025, Elka terpanggil untuk memperkasakan bahasa ibunda, terutamanya dalam kalangan anak-anak muda.
“Supaya kita bukan sekadar nama tetapi bahasa ibunda kita kekal hidup. Saya mahu memberi kesedaran kepada mereka tentang adat dan budaya kita yang unik, supaya terus diwarisi, dan menjadi kebanggaan komuniti kita,” katanya dengan penuh yakin.
“Saya mahu mengambil kesempatan ini sebagai langkah permulaan saya untuk menyebarkan kesedaran tentang bagaimana orang dulu-dulu dan anak-anak muda kini, menganggap adat ini sebagai warisan, dan bukannya sambutan semata-mata,” katanya.
Walaupun perancangannya belum disusun dengan baik, Elka yakin bahawa usaha kecil yang telah dimulakan lama-kelamaan akan mendatangkan impak yang besar.
Di sebalik wajah yang menawan dan budi bahasa yang santun, Elka juga seorang individu yang berbakat dan berdedikasi. Hobi bermain guitar dan menyanyi menunjukkan sisi kreatifnya, manakala minat mendalamnya terhadap sukan olahraga, terutamanya acara pecut dan lompat, membuktikan disiplin dan ketabahan yang dimilikinya.
“Saya pernah mengikuti acara sprinter 100 meter, lompat jauh, lompat tinggi, dan pernah juga menyertai Heptathlon peringkat MSSS 2019,” ujarnya.
Elka pernah merangkul pingat emas 100 meter, pingat emas lompat jauh, pingat emas untuk 4 X 100 meter, pingat emas 4 X 400 meter peringkat daerah, dan pingat perak hepthatlon peringkat negeri Sabah.
Selain memperjuangkan warisan budaya, Elka juga berhasrat melanjutkan pelajaran untuk mendapatkan Bacherlor In Pharmacy dengan harapan dapat membuka kedai farmasi sendiri suatu hari nanti.
Sekalung nasihat kepada mereka yang berminat menyertai Unduk Ngadau, dari Elka, “Unduk Ngadau ialah wadah untuk mengembangkan potensi dan mencapai matlamat yang ada di dalam hati kita. Kemenangan itu perkara kedua, yang lebih penting ialah mendalami adat dan warisan bangsa. Dari pengetahuan inilah akan terpancar keindahan tradisi yang perlu diwarisi, sebagai tanda sayang terhadap bangsa. Kecantikan fizikal hanya menjadi nilai tambah untuk memberikan pengaruh positif kepada masyarakat, dan menjadikan kamu peneraju tradisi bangsa kita.”
Di akhir wawancara Elka berpesan, “Saya sangat berterima kasih atas sokongan dari keluarga, rakan-rakan dan semua penyokong-penyokong. Tenaga, semangat dan sumbangan kamu saya sangat hargai, dan menjadi pembakar semangat untuk melakukan yang terbaik di peringkat negeri, di KDCA nanti.
“Saya juga mengambil peluang ini untuk menyampaikan pesan untuk semua, bahawa menang atau kalah adalah adat pertandingan. Marilah kita bentuk keserasian dan kerukunan agar kita dapat memperlihatkan budaya kita yang berbilang etnik tetapi terus bersatu hati. Kaamatan ini kita sambut sebagai warisan yang mahal untuk setiap individu, dan warisan kepada generasi yang akan datang. Hidupilah warisan kita dengan merayakan pesta kaamatan dengan lebih bermakna.”
Sama ada Elka akan berjaya dinobat sebagai Unduk Ngadau Sabah tahun ini atau tidak, ia hanyalah aspek sekunder. Kerana keberaniannya untuk mencuba dan komitmennya untuk memberikan yang terbaik dalam apa jua bidang yang diceburi, sudah jelas mencerminkan ciri-ciri seorang ‘ratu’ yang sejati – bukan hanya pada wanita secara umum, tetapi khususnya Orang Asal Sabah.