Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 7 September 2026 – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menganjurkan Program Ekspedisi Puncak Bersih Makanan Selamat Peringkat Negeri Sabah 2026 di Gunung Kinabalu dari 2 hingga 4 September lalu untuk meningkatkan kesedaran dan amalan keselamatan makanan dalam kalangan pengendali makanan, malim gunung, porter dan pendaki.
Program tiga hari itu diketuai Ketua Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datin Ts. Doreen Girik Anthony Gorotud, dengan memberi tumpuan kepada aspek kebersihan dan keselamatan makanan di premis makanan yang terletak di kawasan altitud tinggi.
Sepanjang ekspedisi, pelbagai aktiviti pendidikan dan interaktif dilaksanakan termasuk bimbingan amali di dapur kepada pengendali makanan, sesi taklimat dan hebahan berkaitan amalan keselamatan makanan.
Program berkenaan turut diserikan dengan Pertandingan Explorace Keselamatan Makanan yang dianjurkan sempena Kempen Hari Keselamatan Makanan Sedunia (WFSD) 2026.

Pertandingan itu diadakan di sekitar Gunung Kinabalu sebagai pendekatan kreatif untuk menyampaikan mesej kesihatan awam berkaitan keselamatan makanan di lokasi tertinggi di Malaysia.
Justeru, pemeriksaan turut dijalankan terhadap premis makanan untuk menilai kelayakan mendapatkan pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS).
Hasil penilaian mendapati restoran Sutera Sanctuary Lodge dan Mountain Torq memenuhi semua kriteria ditetapkan dan berjaya menerima pengiktirafan BeSS.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah berharap pengiktirafan itu menjadi pemangkin kepada kedua-dua premis untuk terus mengekalkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan yang tinggi untuk kesejahteraan pendaki sekali gus pengunjung Gunung Kinabalu.
Program itu turut mendapat kerjasama Taman-Taman Sabah dan Sutera Sanctuary Lodges sebagai rakan strategik dalam usaha memperkukuh aspek kesihatan awam dan keselamatan makanan di kawasan Gunung Kinabalu.

