Ejen Judi Atas Talian Dicekup di Kudat

KUDAT: 16 Julai 2025 – Polis Daerah Kudat terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan judi atas talian menerusi serbuan ke atas sebuah premis di Bangunan Millimewa, Jalan Lintas, hasil maklumat yang diterima melalui saluran QR Code Aduan Masyarakat.

Dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat itu, seorang lelaki tempatan ditahan kerana dipercayai berperanan sebagai ejen perjudian dalam talian.

Polis turut merampas sejumlah wang tunai serta beberapa unit telefon bimbit yang digunakan bagi menjalankan kegiatan haram tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 sehingga RM100,000 serta penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataannya menegaskan bahawa aktiviti perjudian atas talian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membawa kesan negatif yang serius kepada masyarakat.

Antara kesan tersebut termasuk masalah kewangan akibat ketagihan berjudi, keretakan institusi keluarga, peningkatan jenayah sampingan serta gangguan terhadap ketenteraman awam.

Sehubungan itu, PDRM menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah melalui saluran rasmi termasuk QR Code Aduan Masyarakat bagi memastikan persekitaran yang lebih selamat dan sejahtera.

Sumber: Kenyataan JPJKK Kontijen Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal