EduCARE Buka Peluang Pembelajaran untuk Murid Talasemia

RANAU: 30 Julai 2025 – Seorang pendidik dari Ranau, Sabah, tampil dengan satu inisiatif luar biasa yang memberi harapan baharu kepada murid penghidap talasemia untuk terus mengakses pendidikan secara berterusan meskipun menjalani rawatan hospital secara berkala.

Hallsen Justin, 36, yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPPD) di Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, merupakan pengasas projek EduCARE, sebuah inisiatif pendidikan berasaskan hospital yang mensasarkan murid-murid talasemia di Hospital Ranau dan kawasan sekitarnya.

Beliau telah berkecimpung dalam bidang pendidikan lebih 13 tahun, dengan latar belakang sebagai guru Matematik dan Penolong Kanan Pentadbiran di SK Timbua.

Menurut Hallsen, “EduCARE diwujudkan bagi memastikan murid talasemia tidak tercicir dalam pelajaran meskipun perlu menjalani rawatan intensif di hospital”, katanya ketika menjawab soalan daripada wartawan dalam satu wawancara.

Tambahnya lagi, pendekatan ini berasaskan pembelajaran fleksibel dan inklusif agar hak pendidikan mereka sentiasa terjamin.

Sehingga kini, projek tersebut telah berjaya memberi akses pendidikan kepada lebih 30 murid talasemia.

Beberapa inisiatif turut dilaksanakan termasuk pembangunan modul pembelajaran khas, penganjuran program kesedaran talasemia di Hospital Ranau serta pembentukan pasukan guru sokongan yang melibatkan ibu bapa dan petugas kesihatan.

Inspirasi Hallsen hadir melalui pengalaman langsung bersama anak-anak muridnya yang gigih menuntut ilmu walaupun terpaksa menjalani rawatan berkala.

Keazaman mereka menjadi pemangkin kepada tercetusnya idea untuk membina sistem pendidikan yang lebih berperikemanusiaan dan menyeluruh.

Projek EduCARE turut menerima pelbagai pengiktirafan, termasuk Anugerah Inovasi Terbaik Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah 2025, tersenarai sebagai lima finalis terbaik RISE Educator Award Malaysia 2025, selain jemputan khas untuk bual bicara di RTM Sabah FM dan penyertaan antarabangsa menerusi Global Reach dari Pakistan dan Romania.

Walaupun menghadapi cabaran seperti kekangan tenaga pengajar, ketiadaan guru hospital rasmi dan keperluan menjalinkan hubungan erat dengan pihak hospital, cabaran tersebut diatasi melalui kolaborasi strategik.

Antara rakan utama ialah Persatuan Talasemia Sabah, Rotary International Club Penampang serta Hospital Ranau yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek.

Hallsen menaruh harapan agar EduCARE dapat membuka mata masyarakat mengenai kepentingan pendidikan untuk semua, termasuk mereka yang tergolong dalam komuniti marginal.

Tambahnya lagi, setiap kanak-kanak berhak mendapat pendidikan berkualiti, tanpa mengira keadaan kesihatan mereka, oleh itu EduCARE mungkin satu langkah kecil, tetapi ia mampu memberi impak besar sekiranya dilaksanakan secara kolektif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal