KOTA KINABALU: 29 September 2025 – Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) memperkukuh peranannya dalam memastikan keseimbangan bekalan dan permintaan elektrik di Pantai Timur negeri itu melalui pelan strategik bersepadu yang merangkumi tindakan segera, sederhana, dan jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, strategi tersebut bukan sahaja bertujuan menjamin kestabilan tenaga, malah turut menekankan pemodenan infrastruktur grid sedia ada yang diuruskan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Beliau menjelaskan, usaha itu digerakkan menerusi kerjasama rapat dengan kerajaan negeri di bawah Majlis Tenaga Sabah yang dipengerusikan Ketua Menteri, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur grid kritikal dan pelaksanaan projek penjanaan tenaga secara menyeluruh.
Antara langkah segera yang sudah dilaksanakan termasuk mengukuhkan sambungan Grid Timur-Barat serta memastikan loji janakuasa Diesel dan MFO di Pantai Timur beroperasi pada tahap ketersediaan tinggi.
Bagi penyelesaian jangka sederhana, sebuah loji janakuasa LNG berkapasiti 160MW akan dibangunkan di Tawau, seperti diluluskan Majlis Tenaga Sabah pada Julai lalu. Projek itu dijangka siap pada 2028 sebagai langkah interim menambah kecukupan bekalan elektrik.
Dalam perancangan jangka panjang, projek Southern Link 275kV dari Sipitang ke Tawau bakal menjadi tulang belakang utama sistem Grid Sabah, yang akan meningkatkan kapasiti penghantaran elektrik secara menyeluruh di negeri ini.
Selain itu, peralihan ke arah tenaga boleh diperbaharui turut dipercepatkan dengan pelaksanaan projek solar berkapasiti 100MW di Pantai Timur, hidroelektrik 141MW di Sungai Segama, serta tawaran RFP bagi tambahan solar 250MW.
ECoS juga merancang sistem simpanan tenaga BESS 200MW/400MWh, projek biotenaga, geoterma di Tawau, dan turut meneliti teknologi tenaga nuklear sebagai antara pilihan masa depan.
Menurut Abdul Nasser, pendekatan berlapis itu diyakini mampu mengurangkan gangguan bekalan, selain menyediakan asas kukuh untuk pembangunan tenaga Sabah yang mampan dan moden.
Sumber: Sabah News Today