Kota Kinabalu, 7 JULAI 2025 – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2025 berjumlah RM1.18 bilion, langkah penting untuk memastikan kelangsungan operasi pentadbiran negeri sehingga hujung tahun ini, sekaligus menjadi petunjuk kepada persiapan menjelang pembubaran automatik DUN ke-16 yang dijangka selewat-lewatnya 11 November ini.
Pembentangan RUU oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, diluluskan selepas dibahas oleh 26 Ahli Dewan, yang menyokong langkah itu sebagai suntikan fiskal kritikal untuk pentadbiran dan pembangunan negeri dalam tempoh transisi politik akan datang.
Daripada jumlah keseluruhan, peruntukan terbesar sebanyak RM600 juta disalurkan kepada Kumpulan Wang Berkanun, manakala selebihnya diagihkan untuk perbelanjaan pentadbiran (RM204 juta), operasi (RM195 juta), pemberian dalam negeri (RM84 juta), pelaburan (RM54.4 juta), dan peruntukan khas (RM50.7 juta).
Kementerian Kewangan menerima bahagian terbesar peruntukan tambahan iaitu RM789.1 juta, termasuk RM250 juta untuk mengurangkan defisit Akaun Pembangunan dan RM185.5 juta untuk perkhidmatan am perbendaharaan. Sebanyak RM150 juta turut disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Berkanun bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya dan jambatan di seluruh Sabah.
Dalam aspek kebajikan dan pembangunan rakyat, RM200 juta diperuntukkan kepada Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri, meliputi program seperti SENTOSA (Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah), SUBFLY (Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah), dan SUKSES (Sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah).
Masidi turut menyenaraikan penambahan RM416 juta dalam perbelanjaan pembangunan merangkumi 83 komponen di bawah 10 kementerian. Peruntukan terbesar diberikan kepada Kementerian Kerja Raya Sabah (RM254.9 juta), disusuli Kementerian Pembangunan Luar Bandar (RM82.5 juta) dan Jabatan Ketua Menteri (RM38.5 juta).
Kementerian lain turut menerima agihan tambahan seperti Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, RM55.7 juta (belanja operasi) dan tambahan RM17.4 juta (pembangunan), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan sebanyak RM25.9 juta (operasi) dan RM2.3 juta (pembangunan), Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat sebanyak RM16.2 juta (operasi) dan RM4.6 juta (pembangunan). Antara lain, Kementerian Belia dan Sukan menerima tambahan sebanyak RM4.84 juta, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan sejumlah RM7.7 juta, dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar sebanyak RM2.9 juta.
Masidi menegaskan bahawa peruntukan tambahan ini bukan sahaja bertujuan memperkukuh kestabilan kewangan negeri tetapi juga memastikan pelaksanaan projek pembangunan dan program kebajikan tidak terhenti menjelang tempoh akhir pentadbiran sedia ada.
Sumber – Sabah Dimensi