LAHAD DATU: 10 September 2025 – Tuntutan palsu melibatkan projek pembersihan kawasan dan penanaman kelapa tacunan bernilai kira-kira RM6,000 membawa kepada penahanan dua pesara sebuah agensi kerajaan negeri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.
Kedua-dua lelaki berusia sekitar 60-an itu ditahan pada jam 11 pagi di pejabat SPRM Lahad Datu ketika hadir memberikan keterangan berhubung siasatan kes berkenaan.
Sumber memaklumkan, siasatan awal mendapati perbuatan tersebut berlaku sekitar tahun 2021 ketika mereka masih berkhidmat.
Tuntutan pembayaran projek yang dikemukakan didakwa mengandungi butiran tidak benar kerana kerja-kerja pembersihan dan penanaman itu sebenarnya tidak pernah dilaksanakan.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, mengesahkan penahanan terbabit dan menyatakan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan dokumen palsu.
Beliau turut memaklumkan, kedua-dua suspek akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat selepas siasatan selesai.
Sumber: Sabah Dimensi