KOTA KINABALU: 10 Februari 2026 — Polis Daerah Kota Kinabalu menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel telekomunikasi di sekitar Luyang hingga Telipok pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu memaklumkan, tangkapan dibuat hasil rondaan cegah jenayah di Jalan Maktab Gaya, Luyang apabila anggota polis mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan berhampiran lokasi kejadian.
Kedua-dua suspek sedang memotong kabel telekomunikasi sebelum bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.
Suspek enggan memberikan kerjasama walaupun diarahkan berhenti malah memandu secara agresif sehingga membahayakan keselamatan anggota polis dan pengguna jalan raya sepanjang pengejaran.
Pengejaran berakhir di kawasan Taman Putra Perdana, Telipok setelah kenderaan suspek terbabas dan mengalami kerosakan pada tayar belakang.
Kedua-dua suspek cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan singkat.
Pemeriksaan ke atas kenderaan dan suspek membawa kepada rampasan beberapa batang kabel telekomunikasi, peralatan memotong kabel, satu objek menyerupai senjata api dan dadah disyaki jenis syabu seberat 0.44 gram.
Ujian saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: Polis Daerah Kota Kinabalu
