Dr. Mary Gambidau Dilantik Pengerusi Unduk Ngadau Kaamatan Sabah 2026

Mary2

KOTA KINABALU: 8 April 2026 – Dr. Mary Gambidau dari Telupid dilantik secara rasmi sebagai Pengerusi Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 (UNK 2026), sekali gus memikul tanggungjawab besar dalam menerajui penganjuran acara kebudayaan yang menjadi simbol identiti masyarakat Sabah.

Pelantikan itu mencerminkan usaha berterusan memperkukuh kedudukan Unduk Ngadau Kaamatan sebagai platform utama dalam pemeliharaan dan pemerkasaan warisan budaya, selain mempertingkat peranan wanita muda sebagai pewaris tradisi dan pemimpin masa depan komuniti.

Selain itu, Datuk Joanna Datuk Kitingan dilantik sebagai penasihat yang memberikan panduan strategik kepada jawatankuasa penganjur, untuk menyokong kelancaran pengurusan.

photo 2026 04 08 19 47 24

Sehubungan itu, jawatankuasa induk turut dibentuk dengan pelantikan Mandy Nandu sebagai Timbalan Pengerusi, Audrey Wilson Rantau sebagai Setiausaha dan Maureen J. Kananong sebagai Bendahari, bersama barisan ahli berpengalaman.

Mary berkata, Persiapan UNK 2026 telah bermula sejak Februari lalu dengan pelaksanaan beberapa inisiatif penambahbaikan, termasuk penilaian awal finalis selaras dengan garis panduan Jawatankuasa Pusat KDCA.

“Kemuncak acara dijadual berlangsung sepanjang Minggu Unduk Ngadau Kaamatan dari 26 hingga 31 Mei 2026, menghimpunkan seramai 52 finalis dari seluruh Sabah termasuk wakil yang menetap di Semenanjung Malaysia.

“Sepanjang tempoh itu, pelbagai program rasmi, aktiviti kebudayaan dan sesi penilaian akan dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau turut mengesahkan sebuah hotel terkemuka di ibu negeri sebagai lokasi rasmi penginapan bagi edisi tahun ini, bagi memastikan keselesaan dan kelancaran sepanjang penganjuran.

“UNK 2026 dijangka terus memainkan peranan penting sebagai platform berprestij dalam memartabatkan warisan budaya, memperkasa wanita dan mengukuhkan identiti masyarakat Sabah di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya dengan penuh keyakinan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal