KALABAKAN: 23 Ogos 2025 – Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, menggesa rakyat agar terus memberi mandat kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mentadbir negeri dalam tempoh lima tahun akan datang demi kesinambungan pembangunan.
Beliau menegaskan, banyak agenda pembangunan telah dirintis sejak lima tahun lalu dan memerlukan kestabilan politik untuk diteruskan dengan lebih berkesan.
Menurutnya, PBS sebagai komponen penting dalam GRS sentiasa mendapat sokongan rakyat di seluruh negeri, termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik.
Dalam ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian PBS Sebatik di Dewan Serbaguna Kalabakan, Joachim berkata, kestabilan politik adalah asas utama bagi memastikan Sabah menikmati pembangunan yang seimbang dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Beliau menekankan perjuangan PBS bersama GRS akan terus menuntut hak rakyat Sabah serta memastikan agihan pembangunan yang adil dan setimpal.
Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut mengingatkan ahli-ahli PBS agar bersatu hati menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Beliau menekankan bahawa kerjasama padu dalam GRS penting bagi membentuk semula kerajaan dan meneruskan pencapaian lima tahun terdahulu.
Mesyuarat berkenaan dihadiri lebih 300 ahli dan pemerhati, serta turut disertai Naib Presiden PBS merangkap Ketua Bahagian Silam, Haji Mursid Rais; Ketua Pemuda PBS merangkap Pengerusi Perkasa Realty Sdn Bhd, Datuk Dr. Christoper Mandut; Ketua Bahagian PBS Bugaya, Hajah Fazidah @ Jahara Mohd. Yassin; serta beberapa pemimpin bahagian lain.
Dalam majlis tersebut, Joachim turut menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada 60 ketua isi rumah selain meninjau lot kedai yang diselenggarakan oleh Perkasa Realty Sdn Bhd.
Sumber: Sabah Dimensi