Didie Shazry Juara Raise The Star Malaysia

SHAH ALAM: 10 Ogos 2025 – Bakat luar biasa dan persembahan penuh emosi membawa tuah kepada Didie Shazry, yang berasal dari Kudat, Sabah, apabila dinobatkan sebagai juara sulung program realiti nyanyian Raise The Star Malaysia yang melabuhkan tirainya di Royale Theatre Shah Alam pada 10 Ogos 2025 yang lalu.

Kemenangan itu membolehkan Didie membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi, serta peluang merakamkan sebuah single baharu.

Lagu “Peganglah Hati” ciptaan Aina Abdul yang dibawakan Didie dengan penuh penghayatan menjadi kemuncak persembahan yang memikat hati juri dan penonton.

Naib juara menjadi milik Zuana dari Sandakan, Sabah, yang membawa pulang RM20,000, trofi, serta peluang merakamkan sebuah single, dan tempat ketiga pula diraih Raymee dengan hadiah RM10,000, trofi dan hak rakaman single.

Sementara itu, Hariz Fayahet dan Keka menamatkan saingan di tempat keempat dan kelima, masing-masing menerima RM5,000, trofi, serta peluang merakamkan single mereka sendiri.

Program yang berlangsung selama lapan minggu itu menampilkan format unik dengan memberikan kuasa besar kepada komposer terkenal seperti Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah, dan Ikhwan Fatanna dalam membimbing, memilih, serta mencipta lagu khas untuk peserta pilihan mereka.

Penjurian ditentukan 80 peratus oleh komposer, manakala 20 peratus lagi dari undian penonton, menjadikan Raise The Star Malaysia sebuah platform yang bukan sahaja mencungkil bakat, tetapi turut menghubungkan peserta dengan penggiat seni terkemuka industri muzik tanah air.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal