Dharma D’Gaya Rangkul Kejuaraan Debat Piala Presiden UPKO 2025

KOTA KINABALU: 23 Ogos 2025 – Pasukan Dharma D’Gaya dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya muncul juara Pertandingan Debat Terbuka (Belia) Piala Presiden UPKO 2025 yang berlangsung pada 22 hingga 23 Ogos di Dewan Auditorium Pascasiswazah, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Naib juara disandang pasukan Rhetorigoats dari UMS, manakala Tiga Serangkai Bersatu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraih tempat ketiga, diikuti UiTM Cawangan Sabah di tempat keempat.

Pertandingan bertemakan “Dari Wacana ke Wawasan: Belia Berprinsip, Sabah Progresif” itu dianjurkan oleh Biro Hubungan Antarabangsa UPKO yang dipengerusikan oleh Rowindy Lawrence Odong.

Foto: Barisan peserta daripada pelbagai institusi. – Datuk Ewon Benedick

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pertandingan debat sebagai platform melatih belia berfikir secara kritis, matang, dan berprinsip, di samping menyokong agar inisiatif ini dijadikan acara tahunan parti berkenaan.

Sebanyak 10 pasukan terbaik sertai pertandingan julung kali ini termasuk Waris Kinabalu (UPSI), Sujana (UMS), Kolej Kediaman Tun Mustapha UMS – DEBATERA KKTM, Huguan Rajawali Pustem Limbanak, dan Team Swing.

Isu-isu yang dibahaskan sepanjang pertandingan mencakupi topik semasa berkaitan belia dan dasar negeri, antaranya Enakmen Pembangunan Belia Sabah, Belanjawan Negeri mesra belia, serta cadangan pelaksanaan gaji progresif.

Di pusingan separuh akhir, para pendebat mengupas tajuk mencabar bertajuk “Cabaran Rasuah di Malaysia: Belia Perlu Berani.”

Menurut Rowindy, pertandingan itu mencipta sejarah baharu bagi UPKO, malah mendapat sambutan positif termasuk penglibatan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai hakim selepas lebih dua dekad tidak terlibat dalam penganjuran debat di Sabah. Turut menjadi rakan strategik ialah Persatuan Literasi Dasar dan Diplomasi Sabah (Spade).

Dari sudut lain, penganjuran tersebut dilihat bukan sekadar sebuah pertandingan, tetapi juga wadah melahirkan pemimpin belia yang berani berhujah berlandaskan fakta, berfikiran rasional, dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal