Deejay PATI Ditahan Dalam Serbuan Pusat Hiburan Haram di Penampang

PENAMPANG: 24 Ogos 2025 – Seorang deejay warga asing tanpa dokumen pengenalan diri sah ditahan polis dalam serbuan Op Mega Noda di sebuah pusat hiburan di daerah ini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, serbuan mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa lesen hiburan awam. Turut ditahan seorang penjaga premis warga tempatan.

Polis turut merampas beberapa peralatan muzik termasuk sebuah komputer riba dan mikrofon bagi membantu siasatan.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam 1958 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau sebatan jika sabit kesalahan.

Polis menegaskan operasi berterusan akan diperkasakan bagi membanteras pusat hiburan haram serta mencegah kemasukan pekerja asing tanpa dokumen sah.

Sumber: Polis Daerah Penampang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal