DBKK Perkukuh Kerjasama Media, Sasar Kota Kinabalu Sebagai “Seafood City”

b3dea7cc d33a 4bed 830c d85ca4896b5a

KOTA KINABALU : 17 Mac 2026 – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus memperkukuh kerjasama dengan pihak media dalam usaha menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat dan mempromosikan pembangunan bandaraya.

Mayor Kota Kinabalu, Dato’Sri Dr Sabin Samitah, berkata media memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam menyampaikan naratif pembangunan bandaraya dan menjadi penghubung antara pihak berkuasa dan rakyat.

“Peranan media bukan sekadar melaporkan berita tetapi juga menjadi rakan strategik dalam pembangunan bandaraya, khususnya Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Mayor Bandaraya Kota Kinabalu bersama media tahun 2026 yang diadakan di Grand Ballroom, Aras 2, Hilton Hotel Kota Kinabalu pada petang Selasa.

Menurutnya, majlis tersebut bukan sekadar acara sosial tetapi menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan antara DBKK dan pengamal media di samping memperkukuh kerjasama dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

“Dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, majlis berbuka puasa seperti ini menjadi ruang untuk kita mengukuhkan silaturahim, membina kepercayaan dan memperkukuh kerjasama antara DBKK dan pihak media,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen DBKK untuk mempercepatkan transformasi bandaraya ke arah “smart and digital friendly city” melalui agenda digitalisasi yang sedang dibangunkan bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“DBKK sedang mempercepatkan agenda digitalisasi melalui enterprise architecture yang dibangunkan bersama Universiti Malaysia Sabah di samping memperkukuh tadbir urus dan integriti selaras dengan piawaian ISO 37001,” katanya.

Selain itu katanya, DBKK turut memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pelancongan premium dan memperkenalkan Kota Kinabalu sebagai bandaraya yang terkenal dengan hidangan makanan laut.

“Setiap kali rakan dari Semenanjung datang ke Kota Kinabalu, perkara pertama yang mereka sebut ialah seafood di sini antara yang terbaik,” ujarnya.

Beliau berkata pelancong dari Semenanjung juga menyumbang jumlah yang besar kepada sektor pelancongan bandaraya kerana ramai yang datang untuk mesyuarat, persidangan dan lawatan kerja di hotel sekitar Kota Kinabalu.

Tambah beliau, kerjasama erat antara DBKK dan media penting untuk memastikan pembangunan bandaraya dapat disampaikan secara telus dan berkesan kepada masyarakat.

Dr Sabin akhiri dengan berkata, “Hubungan antara DBKK dan media adalah satu perkongsian. Kita berkongsi matlamat yang sama untuk melihat Kota Kinabalu menjadi bandaraya yang bersih, selamat, mampan dan berdaya saing di peringkat global.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal