DBKK diarah wujudkan Jalan Seni
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya diarahkan untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai dalam bandaraya untuk mewujudkan Jalan Seni untuk merancakkan aktiviti seni budaya di negeri ini selain menarik ramai pelancong berkunjung di sini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, banyak lokasi bersejarah yang sesuai di Sabah yang boleh dijadikan tempat aktiviti seni budaya untuk membantu artis tempatan.
“Saya harap Dewan Bandaraya (DBKK) akan mengambil tindakan segera kerana ini akan menjadi sesuatu yang baru kepada pelancong untuk datang di negeri ini,” katanya ketika melancarkan Rhythms of Kinabalu 2022: Coming Back Stronger di Lintasan Deasoka, Gaya Street di sini Sabtu malam.
Ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau juga berkata, flora dan fauna serta kepelbagaian budaya tempatan penting dimaksimumkan sebagai cara untuk memacu industri pelancongan yang mampan dan berdaya tahan.
“Kita mesti pastikan budaya dan kesenian dipelihara serta dikembangkan selaras dengan rancangan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya menambah kerajaan mahu kepelbagaian warisan budaya diperkasakan agar tidak diketepikan daripada pemodenan dan teknologi.
Beliau tidak mahu melihat budaya dan seni terhakis oleh pemodenan sebab jika ini berlaku negeri ini akan kehilangan warisan budaya.
Katanya, Music Rights Sabah Berhad (MRS), sebuah badan pelesenan muzik yang dibenarkan oleh kerajaan ditubuhkan pada Januari tahun ini untuk menjaga hak dan kebajikan artis tempatan Sabah.
Ketua Menteri gembira melihat persembahan penuh warna-warni di majlis Rhythms of Kinabalu, yang membabitkan kira-kira 200 artis dari semua genre.
“Kerajaan berharap program ini akan dapat membantu mempromosikan khazanah seni dan budaya negeri ini selain menemui lebih banyak budaya pelbagai etnik untuk dipertontonkan kepada dunia,” katanya.
Beliau percaya, masih banyak tarian atau muzik daripada 33 suku kaum Sabah yang masih belum ditemui.
“Tarian seperti Limbai, Sumazau dan Magunatip adalah tarian yang sudah diketahui umum tetapi ada masih banyak lagi yang perlu kita bongkar supaya ia tidak pupus ditelan zaman,” katanya.
Hajiji memuji Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan kerana berjaya menganjurkan program melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi serta badan bukan kerajaan yang berkaitan organisasi.
“Saya bangga melihat program ini kerana ia menunjukkan kerjasama padu antara pusat dan kerajaan negeri dalam mempamerkan warisan budaya negeri.
Mudah-mudahan, inisiatif ini akan terus maju selepas dua tahun pandemik,” katanya.
– Tv Sabah News
0 Comments