Datuk Amir Kahar Sertai STAR Sabah, Gesa Perjuangkan Ekonomi Negeri

KOTA KINABALU, 7 Ogos 2025 – Datuk Amir Kahar bin Tun Datu Mustapha, seorang tokoh politik veteran Sabah, hari ini secara rasmi menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah.

Datuk Amir Kahar, yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi selama lima penggal (1986-2008) dan Ahli Parlimen Merudu selama tiga penggal (1990-2004), menyerahkan borang keahlian kepada Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, disaksikan oleh ahli STAR, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said.

Datuk Amir Kahar merupakan anak kepada Tun Datu Mustapha bin Datu Harun, Yang di-Pertua Negara Sabah pertama dan Ketua Menteri Sabah ketiga, tokoh yang dihormati sebagai Bapa Kemerdekaan Sabah dan Bapa Pembangunan Sabah.

Walaupun mengakui usianya yang semakin meningkat, Amir menjelaskan keputusannya untuk kembali terlibat dalam politik didorong oleh kebimbangan mendalam terhadap kedudukan ekonomi Sabah yang semakin merosot.

Beliau menyuarakan kekhuatirannya terhadap isu rasuah yang berleluasa dan dampaknya terhadap kemakmuran negeri.

“Rasuah di sana sini, inilah yang membimbangkan saya! Kalau tidak, saya ingin menikmati hidup,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan tindakan ini sebagai persediaan untuk akhirat, menekankan kepentingan berbuat baik di dunia.

“Sebab itu, saya sudah berfikir panjang sepanjang tahun ini. Inilah cara saya. Bagaimana kita menghapuskan rasuah ini, dengan cara saya menyertai politik,” tambahnya.

Amir turut menyatakan hubungan baiknya dengan Jeffrey, mengenang perjuangan mereka bersama sejak tahun 1986 hingga 1994.

Beliau turut menyentuh isu kemiskinan tegar di Sabah. “Miskin tegar ini saya lihat dalam buku tidak ada. Sebab bagi saya, miskin ini orang putih bilang ‘above the poor’,” katanya.

Amir menegaskan ironi bahawa Sabah, yang merupakan salah satu negeri terkaya di Malaysia, kini berada dalam keadaan kemiskinan yang ketara.

Beliau menyeru rakyat Sabah untuk bersatu dalam memperjuangkan nasib mereka dan masa depan generasi akan datang.

“Saya mintalah rakyat Sabah bersama-sama memperjuangkan nasib kita, untuk masa depan anak cucu,” katanya.

Amir turut berkongsi pengalaman peribadinya, menekankan bahawa generasi muda perlu merasai kesusahan dan kesenangan, supaya menghargai nilai kehidupan.

Di akhir kenyataannya, beliau menekankan kuasa rakyat dalam menentukan masa depan Sabah. “Tangan inilah yang membawa nasib” yang baik atau sebaliknya, jelasnya, menyeru rakyat untuk membuat pilihan yang bijak demi kemajuan negeri.

Penyertaan Datuk Amir Kahar dalam STAR Sabah dijangka akan mengukuhkan lagi parti tersebut dan membawa pengalaman serta pengaruh beliau dalam perjuangan memperkasakan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal