Dato’ Deddy Tokoh Pembangunan Industri Seni Sabah

photo 6091159590725684035 w

KOTA KINABALU: 9 November 2025 – Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac menyifatkan Dato’ Deddy sebagai antara tokoh penting yang banyak berjasa dalam membangunkan industri seni, khususnya di Sabah.

Menurut Datuk Hans, tanpa sumbangan besar Dato’ Deddy, industri kreatif di Sabah mungkin tidak mencapai tahap kemajuan seperti hari ini.

photo 6091159590725684034 w

“Saya rasa tanpa Dato’ Deddy, industri Sabah mungkin tidak ke tahap yang ada hari ini. Bukan hanya di Sabah, tapi juga di FINAS. Pada tahun 1981, beliau turut membantu FINAS sebagai penasihat dan banyak memberi sumbangan sebelum agensi ini ditubuhkan,” katanya ketika ditemui sempena kunjungan FINAS ke kediaman keluarga Dato’ Deddy.

Tambahnya, legasi perjuangan tokoh seni berkenaan akan terus dihormati dan dijadikan contoh kepada generasi baharu.

“Legasi ini perlu kita pelihara dan perbaiki kerana zaman sudah berubah. Kita juga mahu mengenang jasa veteran-veteran yang membawa industri ke tahap sekarang,” ujarnya.

Mengulas tentang kenangan bersama beliau, Datuk Hans berkata usaha dan dedikasi Dato’ Deddy di peringkat pengurusan banyak membantu memperkukuh dasar serta pembangunan industri filem tempatan.

photo 6091159590725684033 w 1

“Saya baru tahu hari ini daripada abang beliau bahawa Dato’ Deddy pernah menaja ramai individu ke Los Angeles untuk menimba ilmu filem. Waktu itu belum ada peruntukan kerajaan atau agensi seperti FINAS, tapi beliau menggunakan usaha sendiri demi memajukan industri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Datuk Hans memaklumkan FINAS bercadang menerbitkan biografi khas mengenai perjalanan hidup dan sumbangan Dato’ Deddy sebagai rujukan kepada generasi baharu dalam industri seni.

“Kita sedang berbincang untuk menghasilkan biografi beliau supaya masyarakat dan anak muda tahu semangat perjuangan serta pengorbanan tokoh ini dalam dunia seni tanah air,” katanya.

Program lawatan berkenaan turut dihadiri oleh penggiat seni tempatan dan wakil industri kreatif Sabah bagi menghargai jasa Dato’ Deddy yang disifatkan sebagai pelopor kemajuan industri filem di negeri itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal