KOTA KINABALU: 17 Oktober 2026 – Seramai 30 koperasi dari Sabah dan Sarawak menyertai CoopFest Borneo 2026, program julung kali di Suria Shopping Mall hari ini.
Program itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin.
Ewon berkata CoopFest Borneo bukan sekadar karnival pameran dan jualan, sebaliknya platform penting mendekatkan gerakan koperasi dengan masyarakat.
“Ini juga mempertemukan koperasi dengan pasaran, memperluas jaringan perniagaan dan menyerlahkan peranannya sebagai penggerak ekonomi komuniti,” katanya.
Beliau berharap pertemuan koperasi dua negeri itu membuka peluang hubungan pembekalan dan perkongsian kepakaran berkekalan.
Menurut Ewon, Sabah dan Sarawak mempunyai kekuatan tersendiri dari segi sumber tempatan, keunikan budaya dan potensi keusahawanan komuniti.
Justeru, beliau mahu lebih banyak koperasi membina jaringan pembekalan hasil pertanian dan makanan, pengedaran barang, pelancongan komuniti, kraftangan dan perkhidmatan.
“Melalui CoopFest Borneo, koperasi kedua-dua negeri berpeluang membangunkan pasaran Borneo sebagai ekosistem perniagaan yang saling melengkapi. Gabungan kekuatan pengeluaran, logistik, pemasaran dan pelanggan akan membantu koperasi meningkatkan skala perniagaan,” katanya.
Karnival tiga hari itu turut menghimpunkan 10 usahawan TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), dengan sasaran 2,000 pengunjung.
Mengulas perkembangan industri itu, Ewon berkata gerakan koperasi Sabah merekodkan 2,047 koperasi sehingga Disember 2025. Keanggotaan mencecah 388,683 orang, aset bernilai RM1.172 bilion dan perolehan RM913.33 juta.
“Perangkaan ini membuktikan kekuatan ekonomi koperasi Sabah dan asas yang tersedia untuk mengembangkan perniagaan. Namun, pertumbuhan aset dan perolehan mesti disokong pengurusan profesional, tadbir urus yang baik dan strategi pasaran berkesan,” tegasnya.
Beliau menjelaskan, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MINDET) sentiasa memperkukuh keupayaan usahawan tempatan termasuk koperasi melalui latihan dan peluasan pasaran.
Katanya, Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan MINDET bernilai RM1 juta tahun ini diperluas merangkumi koperasi, berbanding hanya usahawan individu dan persatuan keusahawanan sebelum ini.

