Photo: Big B Creative
Kota Kinabalu, 3 Mei 2025 – Pusat membeli belah Imago meriah sempena sambutan ulang tahun pertama Chunk & Dunk, jenama pencuci mulut kelahiran Sabah yang kini semakin dikenali di seluruh negara. Majlis tersebut turut menandakan pembukaan rasmi kiosk ketiga mereka, sekaligus menjadi bukti kejayaan pesat yang dicapai dalam tempoh setahun sahaja.
Acara penuh warna-warni ini berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat — daripada peminat setia dan selebriti tanah air, hinggalah ke wakil kerajaan serta rakan niaga yang turut hadir bagi menyatakan sokongan. Antara tetamu kehormat yang menyerikan majlis ialah YB Datuk Phoong Jin Zhe, Menteri Pembangunan Industri & Keusahawanan Sabah, serta YBhg Datuk Dr. Rem Dambul, Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah.
Dikenali dengan gabungan kreatif croissant dan waffle yang dinamakan croffle, serta deretan ais kisar berperisa tempatan yang menyegarkan, Chunk & Dunk telah menawan hati pencinta pencuci mulut, khususnya dalam kalangan golongan muda. Kiosk mereka sering menjadi tumpuan ramai — dan sempena sambutan kali ini, lebih 1,000 croffle and shaved ice diagihkan secara percuma sebagai tanda penghargaan untuk para pengunjung yang tidak pernah jemu memberi sokongan.
Kemeriahan acara semakin terasa dengan kehadiran barisan artis popular seperti Bella Astillah, Elizabeth Tan, Haffiey Suffian, Eylia Guntabid, dan Dabra Sia, yang tampil menghiburkan para hadirin dengan persembahan bertenaga dan mesra peminat. Sorakan gemuruh, tepukan hangat dan gelak tawa yang bergema sepanjang acara menjadikan sambutan ini bukan sekadar pelancaran jenama, tetapi satu pengalaman yang penuh warna, emosi dan kenangan manis untuk semua yang hadir.
Pengasas Chunk & Dunk, Adam Shamil, turut diraikan atas kejayaan luar biasa yang dicapainya. Beliau telah tersenarai sebagai salah seorang daripada 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh di Malaysia oleh Armani Media, manakala jenama Chunk & Dunk sendiri menerima Anugerah BrandLaureate bagi Jenama F&B & Dine-In Paling Bernilai di Malaysia.
Kejayaan ini bagaimanapun bukanlah atas usaha sendiri. Adam menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakan strategik Chunk & Dunk seperti Visual FX, Bena Cabinet, Montigo dan Big B Creative yang banyak menyumbang dalam aspek reka bentuk, pemasaran, dan pengalaman pelanggan.
Lebih daripada sekadar sambutan, acara ini menjadi simbol kebangkitan semangat keusahawanan belia tempatan — membuktikan bahawa anak muda Sabah mampu mencipta impian besar dan menjadikannya realiti, bermula dari negari sendiri. Dengan sokongan kukuh daripada komuniti, kerajaan, dan rakan strategik, Adam yakin untuk membawa Chunk & Dunk, jenama tempatan ini ke pentas yang lebih luas, bukan sekadar dalam negeri, malah ke seluruh negara.