KOTA MARUDU: 3 September 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Marudu meneruskan usaha mendekati masyarakat melalui penganjuran ceramah anti buli di Sekolah Kebangsaan (SK) Talantang, baru-baru ini.
Program yang berlangsung di Dewan Asrama Desa Lion itu dikendalikan oleh Sarjan Rudy Masiri bersama Kpl Ainnis Omutong selaku Pegawai dan Penolong Pegawai Perhubungan Sekolah.
Inisiatif ini bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar mengenai bahaya gejala buli serta langkah pencegahan yang boleh diambil.
Ia juga menjadi sebahagian daripada pelaksanaan konsep Kepolisan Komuniti yang menekankan kerjasama dua hala antara PDRM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Selain memberi pendedahan berkaitan isu keselamatan, program tersebut turut dijadikan wadah untuk mendengar permasalahan warga sekolah, khususnya yang melibatkan pelajar di daerah Kota Marudu, di samping membincangkan kaedah penyelesaiannya.
Pihak sekolah menyambut baik penganjuran ceramah ini yang diharap dapat memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar tentang seriusnya isu buli serta memberikan panduan berkesan untuk menanganinya.
Sumber: Polis Daerah Kota Marudu