Centre Point Sabah Hulur Bantuan kepada Mangsa Kebakaran di Sandakan

photo 2026 05 11 18 40 16

KOTA KINABALU: Centre Point Sabah menerusi inisiatif #CPCares 2026 menyalurkan hampir 500 kilogram sumbangan awam dalam bentuk barangan keperluan asas untuk mangsa kebakaran di Sandakan sebagai tanda solidariti.

Pada 30 April lalu, pasukan Centre Point Sabah ke Sandakan untuk menyerahkan sendiri sumbangan itu di Dewan PPR Batu Sapi dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Air.

photo 2026 05 11 18 40 30

Eksekutif Perhubungan Awam Centre Point Sabah, Meredith Madani berkata, pihaknya amat menghargai sokongan dan keprihatinan masyarakat yang tampil menghulurkan bantuan.

Beliau berharap sumbangan itu dapat membantu meringankan beban keluarga yang terjejas dan memberi semangat untuk terus tabah menghadapi dugaan.

Menurutnya, pelbagai pihak turut memainkan peranan penting dalam menjayakan misi bantuan itu termasuk Triton Rally Community (TRAC) yang membantu mengangkut barangan ke Sandakan melalui jalan darat, dan kerjasama Gentingmas Mall dalam penyelarasan penghantaran ke pusat pemindahan.

photo 2026 05 11 18 40 33

Antara barangan yang disalurkan termasuk air mineral, beras, susu tepung bayi, mi segera, makanan dalam tin dan biskut kering yang dibeli dengan hasil sumbangan orang ramai.

Menerusi inisiatif #CPCares, Centre Point Sabah sebelum ini turut melaksanakan pelbagai program kebajikan dan alam sekitar di seluruh negeri termasuk menyumbangkan bot penyelamat kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, membantu mangsa banjir di Pitas dan mangsa kebakaran di Tuaran dan Kinarut.

photo 2026 05 11 18 40 36

Selain itu, pusat beli-belah berkenaan turut aktif dalam program kelestarian termasuk penganjuran KK Beach Cleaning Day di Pantai Teluk Likas yang berjaya mengumpul 4.3 tan sampah dalam tempoh dua jam dan menjadi pusat beli-belah pertama di Borneo memasang sistem tenaga solar.

Kempen kutipan sumbangan yang berlangsung selama seminggu bermula 24 hingga 29 April lalu itu diadakan susulan kebakaran besar di Kampung Bahagia pada 19 April 2026 yang memusnahkan hampir 1,000 rumah dan menyebabkan kira-kira 9,007 penduduk kehilangan tempat tinggal. Beberapa hari kemudian, satu lagi kebakaran turut dilaporkan di Kampung PPH Karamunting, Batu Sapi yang melibatkan 30 rumah tambahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal