Byline:Jacyntha Sintar, Bavilia Sandra Vitus, Roodwill Ginik
PENAMPANG: 10 Disember 2025 – Sebuah kediaman di Tropikana Villa, berhampiran Plaza 333, menarik perhatian orang ramai apabila kawasan luar rumah dihiasi dengan hiasan Krismas yang meriah dan unik, sekali gus menjadi lokasi tarikan pengunjung sepanjang bulan ini.

Lampu berwarna-warni dan hiasan seperti Santa Claus, salji buatan dan rusa neon mencipta suasana menarik yang membuat pengunjung merasa seolah-olah berada di dunia Krismas yang sebenar.
Turunnya salji buatan menjadi detik yang paling dinanti-nantikan oleh pengunjung yang datang kerana ia memberi pengalaman seakan-akan berada di negara bersalji, dengan kanak-kanak berlari riang.

Tanpa niat komersial atau publisiti, keluarga pemilik rumah berkenaan menghias kediaman mereka semata-mata untuk mencipta kegembiraan, terutamanya kepada kanak-kanak yang teruja melihat persekitaran dipenuhi hiasan Krismas yang ceria dan mesra.

Menurut wakil keluarga itu, keseluruhan proses menyiapkan hiasan tersebut dilaksanakan sepenuhnya dengan kerjasama ahli keluarga tanpa penglibatan pihak luar. Kesepakatan dan semangat kebersamaan menjadi kunci kelancaran pembinaan hiasan itu.

“Hiasan ini dibuka kepada semua lapisan umur. Kanak-kanak, golongan dewasa malah warga emas dialu-alukan untuk datang menikmati suasana Krismas yang santai dan mesra keluarga,” katanya.
Rumah tersebut menerima kunjungan yang ramai setiap malam. Kanak-kanak kelihatan teruja bermain di antara lampu berwarna-warni dan salji buatan, manakala golongan dewasa pula tersenyum gembira, mengambil peluang merakam gambar dan menikmati suasana yang tenang serta mesra keluarga.

Lebih menyentuh hati, keluarga tersebut turut menyediakan makanan ringan dan hadiah kecil untuk kanak-kanak tanpa sebarang bayaran, sebagai tanda keikhlasan dan semangat memberi dalam musim perayaan.
Dibuka setiap hari bermula jam 6 petang hingga malam dan berlangsung sehingga 31 Disember, hiasan ini merupakan penganjuran kali kedua selepas tahun lalu, dengan konsep rekaan yang berbeza.

Walaupun berdepan dengan cabaran cuaca tidak menentu, pemilik rumah sentiasa memastikan aspek teknikal dipantau demi keselesaan pengunjung.
Hiasan Krismas ini dijangka menjadi edisi terakhir selepas dua tahun berturut-turut diadakan.
Bukan sekadar hiasan, kediaman ini menjadi simbol kehangatan, kebersamaan dan semangat memberi, mengingatkan bahawa makna sebenar Krismas bukan terletak pada kemewahan, tetapi pada keikhlasan hati.
