KUNDASANG: Ketua Penerangan Negeri Parti Impian Sabah (PIS), Jinus Sodiong, telah secara rasmi menarik diri sebagai calon parti itu bagi kerusi Kundasang dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan datang, dengan alasan peribadi.
Perletakan jawatannya, yang telah diterima oleh parti, turut merangkumi peletakan jawatan daripada dua jawatan penting lain: Pengerusi bahagian Kundasang dan ahli biro politik parti. Namun, beliau tidak menjelaskan sama ada beliau juga melepaskan keahlian dalam parti tersebut.
“Saya akan terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan ini, terutamanya mereka yang hidup dalam kemiskinan tegar,” kata Jinus dalam satu kenyataan.
“Sebagai anak jati Mukim Timbua dan Mukim Ulu Sugut dalan DUN Kundasang, saya faham perjuangan dan aspirasi mereka. Penglibatan saya dalam politik sentiasa bertujuan untuk membawa perubahan dalam kehidupan mereka.”
Jinus, seorang ahli perniagaan dan bekas kakitangan akhbar Daily Express dan The Borneo Post, pernah bertanding di kerusi Kundasang pada Pilihan Raya Negeri 2018 di bawah tiket Parti Kebangsaan Sabah (PKS).
Mengenai perancangannya selepas ini, Jinus berkata beliau sedang menilai beberapa pilihan tetapi menegaskan bahawa langkah seterusnya akan berpandukan kepentingan rakyat.
“Setiap keputusan yang saya buat adalah demi kepentingan rakyat saya kerana saya benar-benar mahukan yang terbaik untuk mereka,” katanya.
Perletakan jawatannya berlaku hanya beberapa bulan selepas Presiden Parti Impian Sabah, Michel Alok, mengumumkan bahawa parti itu akan mengumumkan senarai calon lebih awal bagi mengelakkan lobi saat akhir dan memberikan masa yang mencukupi untuk penglibatan akar umbi.
Pada masa itu, Michel berkata pengumuman awal bertujuan membantu calon memberi tumpuan kepada kerja di kawasan masing-masing dan bukannya terlibat dalam politik dalaman. Dia jua berkata ketika itu bahwa PIS sedang dalam proses akhir pemilihan seramai bakal 60 calon.
PIS merupakan pemain baharu dalam landskap politik dinamik Sabah, yang kini bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri yang dijangka sengit, dengan penyertaan pelbagai parti serantau dan kebangsaan.