Calon GRS Sandakan janji tidak lari daripada tanggungjawab
SANDAKAN: Calon GRS Sandakan, Lau Chi Keong @ Thomas Lau memberi jaminan bahawa beliau tidak akan lari daripada tanggungjawab menyelenggara infrastruktur awam supaya diurus dengan baik demi untuk kesenangan penduduk.
“Saya akan lakukan tugas itu sekiranya pengundi Sandakan memberi saya mandat sebagai Ahli Parlimen pada 19 November ini. Penyelenggaraan infrastruktur awam yang diurus dengan baik adalah penting kerana ia akan memberi imej positif kepada bandar Sandakan.
“Saya seru warga Sandakan untuk menolak pemimpin politik yang lari dari melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya Lau di majlis temu mesra bersama ahli-ahli Persatuan Tukang Masak Sandakan dan juga Persatuan Kafe dan Restoran Sandakan pada petang Ahad.
Katanya, penduduk Sandakan perlu tahu bahawa penyelenggaraan infrastruktur awam bukan satu perkara kecil dan ia adalah tanggungjawab seorang wakil rakyat.
Menurut Lau, ramai penduduk mengadu kepadanya tentang masalah seperti parit tersumbat dan lampu jalan rosak selepas rayuan mereka untuk meminta bantuan wakil rakyat penyandang tidak dilayan.
Lau memberi jaminan tidak akan lari daripada tanggungjawab sebaliknya berusaha menyelesaikan masalah pengundi Sandakan.
“Pengurusan penyelenggaraan infrastruktur awam dan kebersihan persekitaran bukanlah perkara remeh. Jika Bandar kotor, ia akan menjejaskan minat pelabur untuk datang di Sandakan,” tegas Lau.
– Tv Sabah News
0 Comments