Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
BEAUFORT: 8 Ogos 2026 – Industri ternakan udang di Kampung Bintuka dijangka berkembang dengan lebih baik menerusi cadangan menaik taraf bekalan elektrik bernilai hampir RM1 juta.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata, sebuah transformer baharu diperlukan untuk menampung keperluan bekalan elektrik kira-kira 100 hingga 150 kolam ternakan udang.
“Kita akan berusaha mendapatkan peruntukan dari kerajaan negeri selain meneliti penggunaan dana kementerian untuk merealisasikan pemasangan transformer ini demi membantu pengusaha ternakan udang di Kampung Bintuka.
“Apabila bekalan elektrik lebih stabil, kos pengeluaran dapat dikurangkan dan pengusaha mampu menawarkan harga jualan lebih kompetitif kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program pelepasan 400,000 benih udang sumbangan MAFFI bernilai RM10,000 di Kampung Bintuka, Khamis.
Menurutnya, bekalan elektrik tidak mencukupi menyebabkan kebanyakan pengusaha bergantung kepada generator diesel, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran.Kementerian turut merancang kemudahan penyimpanan sejuk beku untuk mengekalkan kesegaran hasil, selain memberi ruang pembungkusan untuk meningkatkan nilai tambah produk.
Ketika ini, enam hingga lapan pengusaha menternak udang di Kampung Bintuka, dengan sebahagiannya mengusahakan sehingga 10 kolam untuk menjana pendapatan melebihi RM2 juta setahun.
Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia

