KOTA KINABALU: 27 September 2025 – Sektor pertanian, perikanan dan industri makanan Sabah terus berdepan cabaran kekangan peruntukan meskipun semakin penting dalam menjamin keselamatan makanan negeri.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata, permintaan tahunan bagi pembaikan jalan pertanian dianggarkan RM40 juta, namun peruntukan yang diterima hanya sekitar 10 peratus daripada jumlah itu.
Situasi tersebut katanya menjejaskan usaha pembangunan tanah serta peningkatan pendapatan petani.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama erat antara jabatan dan agensi di bawah MAFFI merupakan kunci kepada kelestarian sumber, pengukuhan komuniti nelayan dan petani, serta pencapaian keselamatan makanan di Sabah.
Kerajaan negeri juga sedang mengukuhkan agensi sedia ada selain menubuhkan agensi baharu termasuk Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Sabah Oil Palm Industry Authority (SOPIA) dan Sabah Agriculture Marketing Agency (SAMA).
Jeffrey turut menyatakan bahawa Program Revolusi Ekonomi dan Pertanian Desa (REAR) telah diluluskan tetapi masih menunggu peruntukan.
Beliau juga menyambut baik pengiktirafan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai jabatan teknikal yang akan memperluas peranan mereka dalam memberi khidmat teknikal kepada agensi lain, termasuk menangani cabaran perubahan iklim.
Dalam sektor perikanan, Jeffrey menjelaskan isu larangan menangkap ikan di kawasan taman laut berjaya diselesaikan bagi memastikan kegiatan nelayan tidak terjejas.
Manakala Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) pula memperluas fokus ke arah pengeluaran nanas yang memberi manfaat kepada peneroka.
Bagi memperkukuh potensi ekonomi baharu, beliau turut mencadangkan penubuhan Lembaga Burung Walit, memanfaatkan keunikan Borneo sebagai kawasan pengeluaran sarang burung berkualiti tinggi.
Pada majlis Malam Penghargaan MAFFI itu, Jeffrey merakamkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi di bawah kementeriannya atas komitmen dan dedikasi dalam memastikan pembangunan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan terus maju di Sabah.