KUALA LUMPUR: 2 Sept 2025 – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan di Mahkamah Sesyen bahawa beliau tidak pernah menerima suapan berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan Felcra Berhad dalam unit amanah Public Mutual.
Dalam keterangannya sebagai saksi pembelaan utama, Bung Moktar berkata wang tersebut tidak pernah diserahkan kepadanya, sama ada secara langsung mahupun melalui isterinya, pelakon Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad. Malah, beliau menegaskan hanya mengetahui tentang dakwaan itu selepas dipanggil membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar tahun 2016 hingga 2017.
Menjawab soalan peguam bela, beliau turut menolak dakwaan kononnya mengarahkan Zizie untuk menerima wang dari dua ejen pelaburan, Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar. Menurutnya, sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti kukuh seperti rakaman video, gambar, atau perbualan yang dapat mengaitkannya dengan pemberian suapan tersebut.
Mengulas mengenai pelaburan RM150 juta Felcra dalam unit amanah Public Mutual, Bung Moktar menegaskan keputusan tersebut dibuat melalui prosedur sah serta penilaian bebas oleh Lembaga Pengarah syarikat berkenaan. Menurutnya, pelaburan itu bukan keputusan individu, sebaliknya diluluskan berdasarkan merit serta analisis kewangan yang terperinci.
Jelas beliau, Felcra mengikut tatacara pentadbiran dengan teliti. Tambahnya lagi, keputusan pelaburan dibuat secara kolektif oleh lembaga, bukannya semata-mata kerana cadangan dari Ahli Lembaga Pengarah.
Kes ini kembali mendapat perhatian kerana Bung Moktar bersama isterinya berdepan tuduhan menerima suapan sebagai dorongan meluluskan pelaburan Felcra. Kedua-duanya sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan sejak 2019.
Perbicaraan akan bersambung pada 3 September dengan prosiding dijadualkan mendengar hujahan lanjut dari pihak pembelaan.
Sumber: Astro Awani

