KUALA LUMPUR: 24 September 2025 – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan dakwaan bahawa seorang ejen pelaburan Public Mutual Berhad meminta supaya wang pengenalan RM3 juta dikurangkan kepada RM2.8 juta.
Bung Moktar, 65, yang juga saksi pembelaan pertama, membuat penegasan itu ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How pada perbicaraan kes rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan beliau dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu.
Menurut cadangan pendakwaan, ejen pelaburan Norhaili Ahmad Mokhtar didakwa pernah meminta Zizie Izette menyampaikan perkara itu kepada Bung Moktar namun, Zizie memintanya menyampaikan sendiri kepada suaminya.
Bung Moktar menafikan cadangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tuduhan yang tidak benar.
Pendakwaan juga mencadangkan bahawa Norhaili memaklumkan beliau hanya mampu menyediakan RM2.8 juta kerana perlu menanggung kos lain dan Bung Moktar sekali lagi menolak cadangan itu dan menafikan beliau mengarahkan isterinya menguruskan wang berkenaan.
Bagaimanapun, Pengerusi Barisan Nasional Sabah itu mengakui wang yang diterima Zizie Izette adalah wang pengenalan mengikut prosedur Public Mutual dan menolak cadangan bahawa wang tersebut diterima kerana kedudukannya sebagai Pengerusi Felcra ketika itu.
Ketika ditanya sama ada Zizie Izette terkejut menerima RM2.8 juta dari Norhaili dan seorang lagi ejen Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, Bung Moktar menyatakan beliau tidak pasti dan tidak mengetahui perkara tersebut.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan meluluskan pelaburan Felcra berjumlah RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau dituduh menerima rasuah dari Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.
Selain itu, beliau juga dituduh menerima suapan RM337,500 dari Norhaili melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung pada 26 September ini.
Sumber: Sinar Harian