Bung Mokhtar persoalkemajuan yang dibawa Dr Ronald di Beluran
BELURAN: UMNO Barisan Nasional (BN) mengekalkan calon bukan Islam bertanding di kerusi Parlimen Beluran bagi meneruskan tradisi dan keunikan UMNO di Sabah yang turut dianggotai Bumiputera bukan Islam.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sebab itu BN Sabah mencalonkan bekas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Benedict Asmat untuk bertanding di Beluran pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Katanya, UMNO sudah lama meletakkan wakil bukan Islam sebagai calon di Beluran malah penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee adalah bekas pemimpin UMNO bukan Islam selama lima penggal.
“Sebab itu di Beluran ini kita tidak meletakkan Ketua Bahagian UMNO, Julie Sabran sebagai calon. Dari dulu memang wakil kita bukan Islam dan kita kekalkan sebab inilah keunikan UMNO di Sabah yang tiada di Semenanjung.
“Kita memilih Benedict kerana dia adalah pemimpin bukan Islam yang kita yakin dapat membawa perubahan di Beluran selepas tiada pembangunan ketara selama ini di bawah penyandangnya,” katanya di pertemuan dengan jentera BN Beluran yang turut dihadiri Benedict, Julie dan Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, pada Ahad.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, bukan mudah BN mendapatkan kerusi Parlimen Beluran kerana penyandangnya tetap mahu mempertahankan kerusi atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Bukan senang untuk mendapat kerusi ini kerana ia disandang Naib Presiden BERSATU (Ronald). Sampai jam 1 tengah hari, 4 November pemimpin BERSATU ada di rumah berunding minta kerusi ini tapi saya kata tidak.
“Sebab saya kata BN mesti ada pemimpin bukan Islam yang ada dalam UMNO di Beluran ini,” katanya.
Bung Moktar yakin Benedict mampu memenangi kerusi Parlimen Beluran meskipun terpaksa berdepan dengan Ronald yang membelakangkan GRS apabila menghantar pencalonan atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada hari penamaan calon pada Sabtu.
Bung Moktar yang juga calon BN di kerusi Parlimen Kinabatangan, berkata kemenangan Ronald sebanyak lima kali di Beluran sebelum ini adalah atas kerja kuat BN.
“Orang yang sama, jentera yang sama, logo yang sama membantu Ronald menang sebanyak lima kali dan sekarang dia lawan kita. Jadi, tugas kita sekarang ialah jentera yang sama jangan lagi fikir apa-apa, kita menangkan saja calon kita di Beluran ini,” katanya.
Bung Moktar mempersoalkan apa yang dibawa Ronald kepada rakyat Beluran selama lima penggal menjadi Ahli Parlimen termasuk sebagai menteri.
“Apa yang dia bawa di Beluran ini selama lima penggal, termasuk sebagai menteri, saya lihat tiada apa juga. Bagus lagi saya di Kinabatangan, walaupun bukan menteri ada lagi pembangunan yang dapat dilihat,” katanya.
Katanya BN perlu membawa perubahan di Beluran dengan memastikan calonnya diberi kemenangan pada 19 November ini.
Benedict katanya adalah orang Beluran dan layak bertanding.
– Tv Sabah News
0 Comments