Tuesday, December 24, 2024

Bung janji bina rumah di Bangau-Bangau jika GRS menang DUN Bugaya

Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama pemimpin BN di Semporna.

Nilam Raon

SEMPORNA: “Kalau Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya kecil di Bugaya, esok lusa saya buat rumah di Bangau-Bangau. Isu lain-lain kita akan bincang yang penting wakil rakyat menang dahulu,” kata Pengerusi BN Sabah, Datuk Bung Moktar Radin.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya akan turut diadakan pada 19 November ini bagi memilih wakil rakyat baru selepas penyandangnya meninggal dunia.

Menurut Bung, Bugaya adalah peluang kedua yang perlu dimanfaatkan rakyat di kawasan itu agar tidak lagi terperuk di ‘dalam tempurung’ kerana tidak mendapat pembangunan.

Katanya, keputusan undian rakyat Bugaya pada PRK kali ini akan membawa fenomena kepada politik Sabah jika calon BN menang seperti perubahan di Parlimen Kimanis ketika PRK di kawasan itu pada tahun 2020.

“Kalau orang Kimanis boleh berubah kenapa tidak Semporna, jangan main-main dengan politik kerana politik ini penentu masa depan,” katanya di majlis bersama Calon BN DUN Bugaya di Semporna.

Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, rakyat Bugaya perlu menggunakan akal dan bukan emosi ketika memilih wakil rakyat.

“Jangan tutup rezeki sendiri, jangan bakar jambatan sendiri, dalam politik ini saudara tetap saudara, kawan tetap kawan tetapi yang lebih penting bagaimana kita mengurus masa depan anak-anak kita,” katanya.

Sebelum itu, calon BN DUN Bugaya, Abdul Aziz Mohd Ibno berkata, tiga isu utama akan disuarakan untuk perhatian kerajaan negeri apabila beliau dipilih di kawasan itu.

“Isu itu ialah penyusunan semula perumahan penduduk di Kg. Bangau-Bangau dan Kg. Simunul serta kemudahan talian telekomunikasi yang masih tidak meliputi seluruh kawasan DUN,” katanya.

Kerusi DUN Bugaya berdepan persaingan tujuh penjuru kali ini yang diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Manis Muka Mohd Dara dari Parti Warisan.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights