Buku Kes Zara Qairina Mengandungi Tulisan Individu Lain

KOTA KINABALU : 8 September 2025 – Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan buku yang dikemukakan sebagai barang kes inkues Zara Qairina mengandungi sebahagian tulisan tangan yang bukan ditulis oleh arwah tetapi individu lain.

Pemeriksa dokumen, Nurul Atiqah Mohd Noh, dalam keterangannya di Mahkamah Koroner berkata pemeriksaan dibuat terhadap helaian kertas serta buku tulisan tangan sebelum perbandingan dijalankan dengan contoh tulisan sedia ada.

Hasil analisis mendapati tulisan tangan pada helaian bertanda Y1 hingga Y7 serta Y9 hingga Y15 mempunyai persamaan signifikan dengan contoh tulisan tangan yang ditandakan sebagai SA.

Pemeriksaan turut mendapati helaian bertanda Y8 serta dua helaian lain iaitu W1 dan W2 juga sepadan dengan tulisan tangan contoh.

Penilaian terhadap buku tulisan tangan bertanda W3 pula menunjukkan terdapat gabungan antara hasil tulisan arwah dan individu lain.

Semakan lanjut mendapati muka surat 3 hingga 6, 15 hingga 24, 38 hingga 45, 47 hingga 57, 65 hingga 72 serta 90 hingga 103 mempunyai persamaan signifikan dengan tulisan tangan contoh.

Bagaimanapun, muka surat 2, 7 hingga 14, 25 hingga 37, 46, 58 hingga 64 dan 73 hingga 89 menunjukkan perbezaan signifikan yang cukup jelas untuk disimpulkan bukan ditulis oleh penulis contoh.

Kesemua penemuan itu disahkan selepas proses perbandingan teliti dijalankan menggunakan kaedah pemeriksaan dokumen forensik oleh Jabatan Kimia Malaysia.

Setelah analisis selesai, semua ekshibit dimasukkan semula ke dalam beg barang kes asal dan dimeterai kembali dengan label keselamatan jabatan berkenaan.

Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina akan diteruskan dengan keterangan saksi lain pada tarikh perbicaraan seterusnya.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal