Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 14 Ogos 2026 – Penyampai radio ERA Sabah, Ema Suhaimi kembali berkarya dalam bidang nyanyian selepas 16 tahun dalam industri hiburan menerusi lagu “Tersakiti”, yang diusahakannya sendiri sebagai wadah menyuarakan perasaan mereka yang pernah melalui pengalaman menyakitkan.
Ema berkata, nyanyian merupakan antara bidang yang paling diminatinya dan kini mahu meneruskan kembali sesuatu yang pernah terhenti.
Menurutnya, “Tersakiti” bukan lagu pertama selepas bergelar penyanyi, namun menjadi karya pertama yang diusahakannya sendiri.
Katanya, lagu itu dihasilkan kerana percaya masih ramai individu memilih untuk berdiam diri dan sukar meluahkan pengalaman yang dilalui.
“Jadi mungkin lagu ‘Tersakiti’ ini boleh jadi suara kepada mereka yang pernah berada dalam situasi yang sukar diungkap dengan kata-kata,” katanya.
Mengulas pengalaman 16 tahun dalam industri, Ema berkata perjalanan hidup termasuk pengalaman jatuh bangun, kehilangan dan peluang yang diterimanya banyak membentuk dirinya.
Ema turut mengakui berasa sedikit janggal dan gementar apabila lagu sendiri bakal didengarkan pendengar, selepas sekian lama memperkenalkan karya artis lain sebagai penyampai radio.
Justeru itu, beliau berkata cabaran utama menghasilkan “Tersakiti” ialah mengatur masa untuk proses rakaman dan penghasilan muzik video, selain faktor bajet.
Ema berharap lagu itu dapat diterima ramai dan menjadi suara kepada mereka yang pernah tersakiti.
“Saya mahu orang di luar kenal Ema sekarang, bukan suara di radio saja, tapi suara yang boleh jadi suara untuk mereka,” ujarnya.

