Bukan Sekadar Sekalung Ijazah Biasa Buat Pelajar Dari Beaufort Ini

photo 6165558487400778803 y

KOTA KINABALU: 5 Disember 2025 – Ketabahan seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dayang Ku Siti Mashitah Binti AK Sulaiman, 23, menjadi inspirasi warga kampus apabila beliau berjaya menggenggam ijazah walaupun berdepan ujian kesihatan yang hampir meragut nyawanya.

photo 6165558487400778802 y

Mashitah, berasal dari Kampung Lubok Weston, Beaufort, pada awalnya menjalani kehidupan biasa sebagai pelajar Hubungan Antarabangsa sejak 2021. Aktif berpengakap, meminati pendakian dan melukis, masa depannya berubah drastik selepas diserang strok secara tiba-tiba pada Jun 2023.

Sebelum kejadian, beliau beberapa kali mendapatkan rawatan akibat sakit perut namun keadaan menjadi kritikal apabila jangkitan kuman merebak sehingga merosakkan buah pinggang, paru-paru dan menyebabkan keempat-empat anggota badannya menghitam. Mashitah ditidurkan selama tiga minggu sebelum membuat keputusan besar untuk menjalani pembedahan memotong semua anggota demi menyelamatkan nyawa.

photo 6165558487400778801 y

Selepas koma, beliau berdepan perubahan fizikal dan cabaran baharu termasuk pertuturan perlahan, ingatan terjejas serta kesukaran bernafas. Namun Mashitah kekal positif dan enggan menyerah.

Pada 2024, selepas setahun menangguhkan pengajian, beliau kembali menyambung pelajaran dengan sokongan penuh pensyarah, rakan-rakan serta pihak pengurusan UMS. Antaranya pengurangan beban kredit, pembelajaran atas talian, bantuan kebajikan seperti kerusi roda elektrik, tangan mioelektrik dan pengurangan yuran.

photo 6165558487400778799 y

Rakan-rakan turut memainkan peranan besar membantu menguruskan pergerakan dan keperluan hariannya. Pihak universiti termasuk Naib Canselor, TNC, Dekan dan pegawai fakulti turut kerap menziarahi serta memberi dorongan.

Kini, Mashitah terus mengikuti kuliah dan menyiapkan tugasan menggunakan kerusi roda dan peralatan bantuan khas. Ketabahan dan komitmennya menjadi simbol semangat luar biasa seorang penuntut ilmu.

“Kekuatan keluarga saya ada pada saya,” katanya ringkas namun penuh makna.

Kisah Mashitah menyerlahkan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mencapai kejayaan, malah menjadi bukti bahawa semangat manusia mampu melangkaui batas apabila diuji.

Sumber asal: Dayang Ku Siti Mashitah

Olahan semula: Bavilia Sandra

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal