BSFF Edisi Ke-5 Kembali Lebih Mantap, Perkenalkan 10,000 Naskah “Food Guide 2026”

photo 2025 10 27 19 27 41

KOTA KINABALU: 27 Oktober 2025 — Festival gastronomi berprestij BSFF: The Signature Food Fest kembali untuk edisi kelima dengan penganjuran yang lebih mantap dan berimpak tinggi iaitu memperkenalkan Food Guide 2026 dengan buku panduan rasmi yang diterbitkan sebanyak 10,000 naskhah.

Buku panduan ini menghimpunkan direktori restoran, tawaran eksklusif dan profil penyertaan peserta, menjadikannya sumber rujukan utama bagi pelancong dan pencinta kulinari di Sabah.

photo 2025 10 27 19 28 01

Acara ini dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 3 Mei 2026 di SICC Meranti Café Foyer, Kota Kinabalu, dengan kemasukan percuma kepada orang ramai.

Penganjuran kali ini menampilkan konsep baharu berteraskan pengalaman kulinari premium dengan penyertaan restoran terpilih dari seluruh Sabah.

Majlis Pembukaan Rasmi akan diadakan pada 2 Mei 2026, sekali gus menandakan bermulanya Kempen Menu Offer & Judging yang berlangsung sepanjang bulan Mei, di mana panel juri profesional akan menilai kreativiti, rasa dan persembahan hidangan dari restoran yang mengambil bahagian.

Panel penjurian bagi BSFF 2026 terdiri daripada tujuh individu berpengalaman, termasuk dua bekas juri tetap edisi terdahulu iaitu Datuk Gordon Leong dan Rory Richardson. Lima lagi juri ialah Pengerusi BSFF 2026, Alfred Allen; Mohd Iskandar dari Breeze Magazine; Adj. Prof. Jong Chung Jin @ Jessie A.S.D.K; serta dua wakil dari TV Sabah iaitu Dennis Patrick dan Suzanne Lujain-Bingkasan.

photo 2025 10 27 19 27 54

Kemuncak festival akan diraikan menerusi Majlis Anugerah BSFF 2026 yang bakal diadakan pada 6 Jun 2026 di Hotel Hilton Kota Kinabalu, sebagai penutup rasmi kepada keseluruhan penganjuran tahun ini.

Menurut Pengarah Projek BSFF 2026, Alfred Allen, penganjuran edisi kelima ini mencerminkan komitmen pihak penganjur dalam memperkukuh piawaian gastronomi Sabah serta memperkenalkan keunikan cita rasa tempatan ke peringkat yang lebih tinggi, seiring usaha menjadikan Sabah sebagai destinasi kulinari utama di Malaysia.

photo 2025 10 27 19 30 08 1

Dalam edisi kali ini, TV Sabah turut berperanan sebagai rakan digital rasmi dengan tanggungjawab menjalankan liputan media dan siaran langsung pelbagai acara penting sepanjang festival.

Antara liputan yang dijalankan termasuk sidang media rasmi, liputan editorial sepanjang Mei, siaran digital TV, sesi penjurian serta liputan eksklusif bagi Majlis Anugerah BSFF 2026 di Hotel Hilton Kota Kinabalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal