Kota Kinabalu, Sabah – Di sebalik senyuman tenang dan tutur kata yang sopan, tersembunyi jiwa anak muda yang penuh semangat dan keberanian. Bryan Soo, anak jati Kampung Tampios, Ranau, telah mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai Juara Buvazoi Tavantang Kaamatan Bandaraya Kota Kinabalu (BTKBKK).
Berbangsa Dusun Lobu, pemuda setinggi 170cm ini merupakan anak bongsu daripada lima beradik. Dalam dirinya mengalir darah perjuangan yang ingin memperkenalkan budaya etniknya ke mata dunia.
“Saya mahu mencabar diri. Saya mahu dunia tahu bahawa etnik Dusun Lobu punya warisan yang kaya dan bernilai,” ujarnya penuh yakin.
Perjalanan menuju kejayaan bukanlah hamparan bunga. Bryan menggalas tanggungjawab sebagai pelajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan juga bekerja sambilan sebagai jurugambar. “Pernah hilang fokus, tapi saya belajar mendisiplinkan diri. Saya susun masa, saya pegang prinsip — trust the process,” katanya sambil tersenyum tenang. Mengimbangi antara pelajaran, aktiviti BTK dan kerja sambilan bukanlah sesuatu yang mudah. Namun Bryan bijak menyusun strategi. “Ada juga assignment belum siap bah…” selorohnya, “tapi saya pastikan masa saya terurus.”
Bryan menambah, ada masa beliau dalam keadaan yang sangat tidak bermotivasi, tetapi lagu rohani menjadi peneman setia. Irama yang menenangkan jiwa dan lirik yang menyentuh hati sentiasa membantunya untuk terus bersyukur dan bangkit saat semangat mula goyah.
Di sebalik kekuatan seorang Bryan, berdiri pendorong yang setia – mami tercinta. Ibunya, insan yang sentiasa mendoakan dan menyokong, menjadi nadi utama kepada semangatnya. Tidak dilupakan pengurus peribadi dan barisan penyokong yang saban hari meniupkan kata-kata semangat.
Sokongan keluarga, meskipun dari kejauhan, sangat luar biasa. Setiap mesej, panggilan, dan doa dari mereka menjadi pelita dalam setiap langkahnya. “Saya tahu mereka sentiasa bersama saya, walaupun kelibat mereka tiada secara fizikal di sisi saya,” katanya dengan nada sebak bercampur syukur.
Inspirasi Bryan? Dua nama disebutnya dengan penuh hormat — Sir Cassey dan Sir Gidau, dua figura yang menjadi tulang belakang dalam penganjuran BTK. Kegigihan mereka untuk mewujudkan impak positif dalam penganjuran pertandingan ini. Semangat mereka yang sentiasa memberikan yang terbaik menjadi sumber inspirasi.
Dan apabila ditanya soalan yang sering menjadi usikan ramai – soal cinta?
“Ada suda,” jawabnya ringkas, berseloroh, disertai tawa kecil yang menceriakan suasana.
Menjelang pertandingan peringkat negeri, persiapan diteruskan dengan lebih fokus dan teratur. Bryan kini memberi perhatian kepada pengucapan awam, penampilan diri, dan yang paling utama — memperkukuh pengetahuan tentang budaya Dusun Lobu.
“Kami konsisten. Dan ya, ada kejutan yang kami rancang untuk pentas negeri nanti.” Katanya.
Di peringkat Bandaraya Kota Kinabalu, pada awalnya, Bryan dan pasukan hanya mensasarkan tempat empat terbaik. Namun takdir menyebelahi usahanya, menjulangnya ke takhta juara. Untuk peringkat negeri, beliau memasang impian untuk berada dalam kelompok tiga terbaik.
“Saya mahu lebih daripada gelaran juara. Saya mahu orang mengingati saya sebagai anak muda yang memperjuangkan identiti bangsa, terutama etnik saya, Dusun Lobu.”
Di akhir wawancara, Bryan sempat menitipkan ucapan kepada semua penyokongnya yang sentiasa memberi inspirasi kepadanya,
“Terima kasih kepada semua yang tidak pernah jemu memberi sokongan. Senyuman kamu, sorakan kamu, mesej-mesej kamu — semuanya menjadi api yang membakar semangat saya. Saya akan terus melangkah dengan yakin dan rendah diri, membawa nama Dusun Lobu dengan penuh rasa syukur dan kebanggaan. Doakan saya, untuk peringkat negeri, dan untuk perjuangan seterusnya.”