KOTA KINABALU: 2 Februari 2026 – Program Borneo Got Talent & Performing Arts 2026, anjuran Lembaga Pengurusan Sekolah bersama SM Lok Yuk Kota Kinabalu (CF), berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Hakka, Kota Kinabalu, dan disaksikan kira-kira 1,000 penonton secara langsung, selain ribuan lagi menerusi siaran TV Sabah.

Pertandingan yang bertujuan mencungkil bakat belia dalam seni persembahan pentas ini mempertandingkan pelbagai kategori termasuk nyanyian, tarian, bakat unik serta Project Runway, sekali gus membuka ruang kepada generasi muda untuk menonjolkan potensi dan keyakinan diri di pentas berskala besar.
Empat peserta muncul sebagai juara bagi kategori utama iaitu Muhlis Husrev (Performing Arts – Singing) mewakili Bandaraya Kota Kinabalu; Siti Nur Fatin binti Pehan (Performing Arts – Dancing) dari Pulau Banggi, Kudat; Mohammad Ashraf (Performing Arts – Unique Talent) dari Beaufort; dan Nur Ratu Mia Adriana (Project Runway – Kerja Berpasukan) mewakili Likas, Kota Kinabalu.

Acara dihoskan oleh tiga pengacara, Eve Saimon, Jordan Queka dan Kelly Tseu, yang memastikan perjalanan program berlangsung lancar mengikut atur cara sehingga tamat sebelum jam 11.30 malam.
Program turut diserikan dengan persembahan khas oleh penyanyi profesional, Daniesh Suffian, alumni SM Lok Yuk Kota Kinabalu (CF), yang berkongsi pengalaman pernah menyertai pertandingan seumpama ini sebelum melangkah jauh dalam industri muzik. Beliau turut menggalakkan pelajar dan belia agar berani mencuba serta mengejar impian dalam bidang seni persembahan.

Ketua juri, Esther Applunius, menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran program ini dan memuji komitmen pihak sekolah dalam menyediakan platform pembangunan bakat belia. Juri kedua, Rhowell Rolland, pula menegaskan bahawa keberanian untuk tampil di atas pentas merupakan satu pencapaian tersendiri yang wajar dibanggakan.

Sementara itu, juri ketiga yang juga Pengarah TV Sabah, Dennis Patrick, memaklumkan bahawa TV Sabah berbesar hati menjadi rakan strategik kepada SM Lok Yuk Kota Kinabalu (CF) serta menaja sebahagian kos siaran langsung bagi memastikan program ini dapat dinikmati oleh lebih ramai belia di seluruh Sabah sebagai sumber inspirasi dan pemangkin bakat baharu.
Dua juri jemputan antarabangsa dari Yuhan University, Korea, iaitu Hyungjoo Kim dan Daroon Bong, turut meluahkan rasa kagum terhadap tahap persembahan peserta dan menyifatkan bakat belia Borneo setanding pelajar universiti Korea di peringkat tinggi.

Dalam anugerah khas, Nur Ratu Mia Adriana turut memenangi gelaran Best Model, manakala Za Divaz memenangi Best Costume serta Creative Talent. Muhlis Husrev pula diumumkan sebagai pemenang Most Liked by Social Media, sementara Siti Nur Fatin binti Pehan merangkul anugerah Most Popular by Voting.

Penyelaras pertandingan peringkat negeri, Walter Misir, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini, khususnya penyelaras daerah Jeslyn Lau (Bandaraya Kota Kinabalu), Leon Dison (Penampang), Juan Richo (Kudat) dan Elizabeth Jipanis (Likas, Kota Kinabalu), yang berperanan mengenal pasti bakat di peringkat komuniti dan sekolah.
TV Sabah percaya platform seumpama ini mampu menjadi ruang pembangunan bakat belia, sekali gus membentuk generasi kreatif yang berdaya saing serta berpotensi membawa nama Sabah ke peringkat yang lebih tinggi.
