BN Terbuka Kerjasama PRN Sabah, Kecuali Dengan GRS – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: 24 September 2025 – Barisan Nasional (BN) menegaskan parti itu terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah, kecuali dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan tersebut selaras dengan prinsip BN bagi mengelakkan pertindihan kerusi yang berpotensi dimenangi.

Kerjasama akan tertumpu kepada Pakatan Harapan (PH) serta pihak lain yang sehaluan.

Beliau menjelaskan konsep kerjasama itu membawa maksud BN bersama PH dan rakan politik lain yang bersetuju dengan prinsip BN untuk mengelakkan pertindihan di kawasan yang mempunyai kelebihan dari segi peluang kemenangan.

Menurutnya, BN tidak akan bekerjasama dengan GRS kerana parti itu yakin mampu menang banyak dan tidak memerlukan BN.

Zahid dalam masa sama mengucapkan selamat berjaya kepada GRS. Ahmad Zahid berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran IkonDesa di Putrajaya, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Media sebelum ini melaporkan, beliau yang juga Presiden UMNO menegaskan BN dan UMNO Sabah telah membuat keputusan muktamad untuk tidak bekerjasama dengan GRS.

Beliau turut memaklumkan BN tidak akan meletakkan calon di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya hanya pada jumlah kerusi yang difikirkan sesuai untuk ditandingi.

DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November ini bagi memberi laluan kepada PRN17.

Sumber: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal