KOTA KINABALU: 28 November 2025 — Billy Joe Dominic, calon nombor 3 bagi DUN N.25 Kapayan mewakili UPKO tampil sebagai antara suara pembaharuan paling lantang dalam PRU Sabah ke-17 apabila membawa agenda tegas membanteras rasuah, salah guna kuasa dan budaya pentadbiran tidak beretika.
Beliau menegaskan bahawa semua pegawai pentadbiran tidak akan dibenarkan terlibat dalam kontrak awam, perniagaan atau apa-apa kepentingan yang boleh mewujudkan konflik tugas bagi memastikan fokus penuh terhadap perkhidmatan rakyat.
Kelemahan sistem dan budaya perebutan kepentingan dalam pentadbiran dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang sering melambatkan pembangunan di banyak kawasan.

Situasi itu bukan sahaja menghakis keyakinan rakyat, malah membuka laluan kepada gejala rasuah terus berulang.
Beliau turut menekankan bahawa mana-mana pegawai yang melanggar garis integriti baharu ini akan ditamatkan perkhidmatan serta-merta sebagai langkah memastikan pentadbiran yang bersih dan berdisiplin.
Billy juga mengaitkan agenda antirasuah tersebut dengan perjuangan hak Sabah, termasuk tuntutan 40 peratus hasil negeri di bawah MA63.
Katanya, pemimpin yang terlibat dengan isu integriti tidak mempunyai kedudukan moral yang kukuh untuk berunding secara bebas dengan Kerajaan Persekutuan.

Komitmen ini menarik perhatian pengundi muda yang kini membentuk 51 peratus jumlah pengundi di Kapayan. Dengan rekod generasi muda Sabah yang pernah mencorak perubahan politik negeri, Billy yakin mereka sekali lagi akan menjadi penentu kemenangan.
Beliau menegaskan bahawa Kapayan memerlukan wakil rakyat yang bersih, berprinsip dan bebas daripada pengaruh luar. Tawaran politik yang dibawa bukan sekadar manifestonya sebagai calon, tetapi satu gerakan untuk membina era pentadbiran baharu yang bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.
