BIGSABAH Sale 2025 Gerakkan Ekonomi Serantau dan Budaya Rentas Sempadan di Sabah
KOTA KINABALU: 1 November 2025 – Acara perdagangan terbesar di Borneo, BIGSABAH Sale 2025, secara rasmi membuka tirainya di Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini, menandakan langkah penting dalam memperkukuh rangkaian ekonomi dan budaya rentas sempadan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, dengan kehadiran tetamu kehormat terdiri daripada pemimpin kerajaan, rakan industri, serta perwakilan antarabangs
Bertemakan “Across Markets, Beyond Borders”, pameran selama tiga hari itu menghimpunkan lebih 600 booth dan 300 vendor dari 13 negara, termasuk Malaysia, Brunei, Thailand, Indonesia, Filipina, China, Korea Selatan dan Turki.
Penganjur menyasarkan lebih 50,000 pengunjung sepanjang acara yang berlangsung dari 31 Oktober hingga 2 November 2025.
Seluruh kompleks SICC seluas enam hektar ditransformasikan menjadi hab perdagangan, budaya dan inovasi, dengan pelbagai aktiviti seperti pameran gaya hidup dan hiasan rumah, forum agro-perikanan serantau, pertunjukan fesyen, bengkel kulinari serta pesta buah-buahan tempatan.
BIGSABAH Sale turut menjadi platform penting kepada usahawan tempatan, wanita dan belia untuk memperkenalkan produk serta memperluas jaringan perniagaan di peringkat antarabangsa.

Dalam majlis sama, turut diadakan Majlis Menandatangani Perjanjian (MOA) antara D’Heritage Sdn Bhd dan Nomad Hospitality Group Sdn Bhd bagi pembangunan The Ship Hotel Project bernilai RM130 juta, yang bakal menjadi mercu tanda baharu di pesisir Kota Kinabalu.

Selain itu, Memorandum Persefahaman (MOU) turut dimeterai antara South Kalimantan Chamber of Commerce & Industry (SKCCI) dari Indonesia dan Malaysian International Chamber of Commerce (MICC) Sabah, dalam usaha memperkukuh hubungan ekonomi rentas sempadan.
Penganjuran ini disokong oleh pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS), Sabah Tourism Board (STB), Sabah Convention Bureau (SCB) dan Yayasan Sabah Group, dengan penaja utama Sabah Credit Corporation (SCC) dan Sawit Kinabalu Group Sdn Bhd.
BIGSABAH Sale 2025 diteruskan hingga 2 November dengan kemasukan percuma.
Pengunjung berpeluang menikmati tawaran menarik, demonstrasi langsung, persembahan budaya dan cabutan bertuah yang memeriahkan suasana di SICC.