Tuesday, December 24, 2024

Bertarung dengan sepupunya, Bung tetap
yakin boleh menang

Mazliwati Abd Malek dan Datuk Seri Bung Moktar

KINABATANGAN: Pengerusi Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin dapat mengekalkan kerusi parlimennya di Kinabatangan kerana tidak gentar dengan pencabarnya iaitu sepupunya sendiri daripada Parti Warisan.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU14) yang lalu, Bung Moktar menewaskan Ghazali Abdul Ghani daripada Warisan dan Mustapa Datu Tambuyong (Parti Harapan Rakyat Sabah) dengan majoriti 9,478 undi.

Kali ini beliau dicabar oleh sepupunya sendiri Mazliwati Abd Malek yang bersedia merebut kerusi parlimen Kinabatangan darinya pada 19 November ini.

Pepatah “kecil tetapi perkasa” tepat menggambarkan Mazliwati calon Parti Warisan Kinabatangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Dia bertubuh kecil, tetapi bersemangat tinggi untuk berdepan dengan ‘gergasi politik’ Sabah iaitu Bung Moktar.

Wanita ini berazam untuk memberikan Warisan kemenangan sulungnya di Kinabatangan yang telah lama menjadi kubu kuat BN.

Mazliwati, 49, berkata, dia sudah bersedia untuk bertarung satu lawan satu dengan Bung Moktar yang berpengalaman luas dalam politik.

“Kinabatangan satu-satunya kerusi yang membabitkan pertarungan lurus di Sabah (dalam PRU15). Saya berdepan dengan seorang yang berpengalaman, ‘gergasi politik’ yang sudah lima penggal sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan.

Inilah adalah kali keenam Bung mempertahankan kerusinya.

“Saya muka baru. Bagaimanapun, saya yakin sepenuhnya dengan kebijaksanaan rakyat untuk memilih siapa yang terbaik,” katanya kepada Bernama.

Mazliwati, graduan undang-undang dari University of London berkata, dia menawarkan banyak perubahan dan penambahbaikan untuk rakyat Kinabatangan.

Anak sulung Allahyarham Datuk Abd Malek Chua yang merupakan tokoh politik Sabah dan pernah berkhidmat sebagai Adun Kuamut berkata, dia mahu melahirkan melahirkan generasi Kinabatangan yang mempunyai minda kelas pertama dan memperkasakan pembangunan sosio-ekonomi rakyat.

“Untuk itu saya perlu menyediakan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif bagi melahirkan generasi Kinabatangan berminda kelas pertama ini,” katanya.

Mazliwati menyertai politik pada 2016. Dia menggariskan beberapa perkara penting dalam manifestonya seperti revolusi ekonomi sebagai langkah menangani isu kos sara hidup dan mengukuhkan sistem kesihatan rakyat Kinabatangan.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights