Bersatu Kota Marudu, GRS kekal utuh

Share the news

Bersatu Kota Marudu, GRS kekal utuh

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili, Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck
Lee, Presiden Usno Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Setiausaha Agung Star Datuk Edward Linggu, ADUN Tandek merangkap pengerusi penganjur Hendrus Anding.

KOTA MARUDU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor berkata, Bersatu Kota Marudu kekal utuh walaupun pengerusinya, Datuk Wetrom Bahanda meninggalkan parti itu.

“Sebagai pemimpin Bersatu Sabah (PPBM) saya ingin menjelaskan bahawa walaupun Ketua Bersatu di Kota Marudu meninggalkan parti itu, saya beri jaminan bahawa Bersatu di sini akan tetap kekal dan kuat di Kota Marudu.

“Kami akan terus menyokong calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili (untuk Ahli Parlimen Kota Marudu),” katanya di majlis Jelajah GRS Kota Marudu di sini, Ahad.

“Kita tidak harus silap membuat perhitungan dalam politik. Saya faham bahawa Parti Warisan sedang mencari dan memancing terutamanya semasa pilihan raya ini. Kita tahu niat mereka…cakap tidak serupa bikin.

“Mereka hanya pandai bercakap. Apa yang telah mereka lakukan dalam tempoh dua tahun setengah ketika memerintah kerajaan Sabah? Mereka tidak mempunyai hala tuju selain berpolitik tanpa mengambil kira kepentingan rakyat berbilang kaum di Negeri ini,” katanya.

Menurutnya, kepimpinan Dr Maximus sebagai Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) masih sangat diperlukan oleh penduduk di sini.

“Beliau telah melakukan begitu banyak untuk Kota Marudu. Jika ada pihak tertentu atau pihak pembangkang yang menuduh tiada pembangunan di Kota Marudu, kita tidak boleh terima. Ia adalah pembohongan terang-terangan.

“Kita boleh lihat sendiri bagaimana Kota Marudu melalui satu transformasi besar sejak beliau (Dr Maximus) menjadi Ahli Parlimen dan Menteri Persekutuan,” katanya.

Hajiji yang merupakan pengerusi GRS berkata, Dr Maximus adalah pemimpin yang disegani oleh pemimpin persekutuan kerana beliau adalah seorang pemimpin yang telah memperjuangkan hak-hak Sabah sejak dari dahulu lagi.
Beliau kini adalah menteri yang menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak, katanya merujuk kepada perjuangannya dalam majlis khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Hajiji juga berkata, GRS adalah platform yang menyatu padukan parti-parti yang mewakili pelbagai kaum masyarakat di negeri ini supaya Persekutuan akan mendengar keluhan dan masalah Sabah.

“Saya harap rakyat akan faham asas-asas penubuhan GRS. Janganlah kita ulangi kesilapan yang lalu. Kita mudah berpecah belah sehingga tidak dapat menuntut hak-hak kerana kita tidak bersatu,” katanya.

“Cukup-cukuplah. Kita tidak perlu bergaduh lagi,” katanya.

Hajiji berkata, beliau juga telah bertemu dengan Ketua Menteri Sarawak baru-baru ini dan mereka mempunyai persefahaman bahawa Sabah dan Sarawak memerlukan satu suara di Malaysia.

Dalam tempoh dua tahun yang lalu, Kerajaan Negeri telah mencapai banyak kejayaan.

“Ini yang kita mahu. Jika kita bersatu kita akan berjaya mencapai apa yang kita mahu,” katanya menambah bahawa beberapa kejayaan dicapai dari segi mendapat lebih banyak daripada Petronas yang diambil daripada sumber minyak dan gas negeri ini.

Beliau berkata, pengumuman akan dibuat tidak lama lagi berhubung ekuiti Sabah dalam projek Petronas di Sabah.

-Tv Sabah News

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal