Beretika dan Berintegriti Asas Kestabilan Negara dan Kemakmuran Ekonomi
TAWAU, 7 Julai 2025 – KWSP bukan sahaja bertanggungjawab mengurus simpanan persaraan rakyat, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memastikan setiap urusan dalamannya bebas daripada unsur rasuah. Jelas beliau, amalan kerja beretika dan berintegriti adalah asas kepada kestabilan negara serta kemakmuran ekonomi selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang diterajui oleh kerajaan hari ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata demikan di Majlis Hari Integriti dan Antirasuah KWSP Wilayah Sabah & WP Labuan 2025 yang berlangsung di Tawau hari ini.
Titingan turut mencadangkan agar Hari Integriti dijadikan sebagai acara rasmi tahunan di semua agensi kerajaan. Langkah itu katanya, dapat membuka ruang perbincangan yang lebih terbuka dan membangun berkaitan isu integriti, tadbir urus, dan langkah-langkah pencegahan rasuah yang boleh memberi impak positif kepada keseluruhan sistem pentadbiran awam.
Majlis itu dilihat sebagai satu lagi inisiatif signifikan KWSP dalam memastikan nilai-nilai integriti terus menjadi budaya kerja yang menyeluruh dan berterusan, sekaligus menyumbang kepada pencapaian organisasi yang cemerlang dan telus.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) komited memperkukuh budaya integriti dan membenteras rasuah dalam organisasi melalui penganjuran majlis seperti Hari Integriti dan Antirasuah KWSP Wilayah Sabah & WP Labuan.
Majlis yang membawa tema “Integriti Teras Kecemerlangan” itu turut memperlihatkan kerjasama erat KWSP bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjayakan agenda antirasuah khususnya di peringkat organisasi dan jabatan kerajaan.
Sumber, Sabah Media