Bencana di Papar: 5 Nyawa Terkorban, 18 Jalan Terputus, 15 Sekolah Terjejas

PAPAR: 16 September 2025 – Hujan lebat berterusan di daerah Papar sejak beberapa hari lalu mengakibatkan lima penduduk terkorban, 18 jalan terputus hubungan serta 15 sekolah terjejas banjir.

Daripada jumlah jalan yang terjejas, 12 tidak dapat dilalui akibat banjir kilat manakala enam lagi runtuh akibat kegagalan cerun.

Sehingga pagi tadi, empat jalan berjaya dipulihkan, namun beberapa kawasan masih terputus akses sepenuhnya, termasuk Kampung Sabandil dan Kampung Bungup.

Penduduk di dua kampung berkenaan hanya dapat menerima bekalan makanan melalui penghantaran bot selepas bekalan elektrik turut terjejas berikutan pencawang tumbang.

Dalam insiden tanah runtuh semalam, dua nyawa terkorban di Kampung Mook manakala tiga lagi di Kampung Marahang.

Mangsa yang terselamat kini ditempatkan sementara di balai raya sebelum dipindahkan ke kediaman alternatif termasuk rumah sewa dan Program Perumahan Rakyat (PPR) berdekatan.

Selain itu, keruntuhan struktur Low Level Crossing (LLC) Kaiduan sejak 13 September lalu menambah kesulitan apabila arus deras dan longgokan sisa menyumbat 11 daripada 17 kalvert sebelum menyebabkan jambatan roboh.

Struktur itu penting kerana menjadi akses utama kepada Kampung Jesuang dan Kampung Kaiduan selain kawasan pelancongan sekitar.

Kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan memberi komitmen membina semula struktur baharu dengan spesifikasi lebih kukuh.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata penilaian dan pemantauan sedang diteruskan, terutama di kawasan berisiko tanah runtuh yang boleh mengancam nyawa penduduk di lereng bukit dan berhampiran cerun.

Buat masa ini, agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan pihak swasta sedang menumpukan usaha penghantaran makanan ke kampung yang terputus akses serta pemindahan penduduk yang terdedah risiko banjir atau runtuhan cerun.

Sumber: Buletin TV3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal