Belia Sabah Gesa Penyelesaian Segera Isu Geran 40%

IMG 1720

KOTA KINABALU: 29 Mac 2026 — Belia Sabah bersama organisasi masyarakat sivil dan sayap belia parti politik menggesa Kerajaan Persekutuan memberikan kejelasan dan mematuhi sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan berhubung isu geran 40%, menjelang pendengaran permohonan penangguhan pelaksanaan perintah pada 31 Mac.

Menurut kenyataan bersama wakil parti politik termasuk UPKO, Warisan dan SAPP, persoalan utama kini ialah komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan tanggungjawab tersebut tanpa terus menangguhkannya melalui proses perundangan.

Mereka turut menegaskan bahawa isu berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai pertikaian teknikal semata-mata, sebaliknya melibatkan kewajipan perlembagaan yang telah diiktiraf oleh Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu, kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bahawa isu tersebut telah selesai disifatkan bercanggah dengan tindakan perundangan yang masih berjalan. Sesuatu perkara tidak boleh dianggap selesai selagi masih dalam proses rayuan dan tertakluk kepada permohonan penangguhan.

Menurut mereka, kelewatan berpanjangan dalam pelaksanaan hak tersebut telah memberi kesan kepada pembangunan Sabah, khususnya dari segi infrastruktur, peluang ekonomi dan masa depan generasi muda.

Sementara itu, wakil organisasi masyarakat sivil seperti Komuhakan Movement, Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) dan Sabah Youth Movement menegaskan bahawa kerajaan perlu mengemukakan garis masa yang jelas dan mekanisme yang telus untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Mereka juga menyeru semua wakil rakyat Sabah agar mengambil pendirian tegas, sambil menegaskan bahawa geran 40% merupakan hak perlembagaan dan bukan satu bentuk budi bicara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal