MUAR: 19 September 2025 – Seorang bekas juruteknik berusia 32 tahun direman tujuh hari selepas disyaki membakar rumah dan kenderaan milik keluarganya selain mencederakan bapa kandungnya dalam kejadian di Kampung Tengah, Jalan Bakri, Rabu lalu.
Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Muar sehingga Rabu depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Suspek yang turut mengalami kecederaan kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, selain dipantau berhubung masalah mental.
Dalam insiden jam 9.43 pagi itu, suspek bertindak memukul dan melibas bapanya yang berusia 70 tahun menggunakan rotan serta pisau, menyebabkan warga emas berkenaan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.
Kebakaran yang dicetuskan suspek mengakibatkan kemusnahan pada rumah, sebuah kereta dan motosikal, dengan anggaran kerugian mencecah RM150,000.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata ujian awal mendapati suspek positif dadah jenis metamfetamina.
Kes disiasat mengikut Seksyen 436 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sumber: Berita Harian