KUALA LUMPUR: 11 Mac 2026 – Kerajaan memberi jaminan bekalan minyak dan produk petroleum negara kekal mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026, selain mengekalkan harga petrol bersubsidi RON95 petrol pada paras RM1.99 seliter bagi melindungi rakyat daripada kenaikan harga minyak dunia.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata langkah itu diambil bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak global dan peningkatan kos barangan keperluan.
Menurut beliau, bekalan minyak dan produk petroleum negara juga kekal mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026 hasil pengurusan cekap oleh syarikat petroleum negara, Petroliam Nasional Berhad.
Katanya, harga minyak mentah dunia meningkat mendadak berikutan ketegangan geopolitik yang menjejaskan laluan perdagangan tenaga utama dunia di Selat Hormuz.
“Pada 9 Mac lalu, harga minyak mentah Brent mencecah sekitar USD119 setong sebelum menurun kepada sekitar USD90 setong semalam.Kenaikan mendadak ini memberi kesan besar kepada negara pengimport dan pengguna minyak,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata gangguan di laluan strategik itu menyebabkan ratusan kapal tangki minyak dan ribuan kapal pengangkutan lain terkandas sekali gus memberi tekanan kepada bekalan tenaga global.
Dalam masa sama, kerajaan turut memperketat penguatkuasaan mengekang aktiviti penyeludupan bahan api bersubsidi, khususnya diesel.
Menurut Anwar, harga diesel kini lebih terkawal di Semenanjung Malaysia manakala di Sabah dan Sarawak tidak mengalami kenaikan, keadaan yang berpotensi membuka ruang kepada kegiatan penyeludupan berskala besar.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri II ditugaskan mempengerusikan jawatankuasa khas bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memastikan pemantauan lebih ketat serta tindakan tegas diambil terhadap pihak yang cuba mengambil kesempatan.
Jemaah Menteri turut memutuskan semua agensi kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tidak akan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri pada tahun ini.
Selain itu, kerajaan juga menghadkan perjalanan rasmi ke luar negara melibatkan menteri dan pegawai pentadbiran, dengan hanya program yang telah dijadualkan atau benar-benar wajib dihadiri dibenarkan diteruskan.
Operasi membawa pulang rakyat Malaysia dari Asia Barat akan diteruskan sekiranya keadaan memerlukan, dengan penyelarasan dilakukan oleh Majlis Keselamatan Negara bersama Kementerian Luar dan perwakilan diplomatik Malaysia di rantau berkenaan.
Kerajaan menegaskan akan terus memantau perkembangan konflik di Asia Barat bagi memastikan kestabilan bekalan tenaga negara serta melindungi kepentingan rakyat dan ekonomi negara.
