KOTA KINABALU: 20 Disember 2025 – Polis Daerah Kota Kinabalu mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan seorang bayi lelaki di kawasan Taman Awam Teluk Likas, pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim bin Muda berkata, maklumat awal penemuan bayi itu diterima kira-kira jam 6.30 pagi hasil panggilan telefon dari orang awam.
Hasil siasatan awal mendapati bayi tersebut dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui, berada dalam keadaan masih bernyawa, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pihak ambulans segera dipanggil ke lokasi dan bayi berkenaan dibawa ke Hospital Likas bagi mendapatkan rawatan serta pemeriksaan lanjut.
Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada saksi mata yang melihat kejadian tersebut dan tiada kemudahan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan individu yang bertanggungjawab sedang giat dijalankan.
Pihak polis turut memaklumkan kejadian ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan susulan berkaitan kebajikan bayi berkenaan.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, SM Rosmah binti Pg Hasim di talian 011-31677612.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi semua pihak yang terlibat.
Sumber: Kenyataan Media Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu
